Hanya sekadar tilikan pak nujum

 Che Ibrahim Mohamed
Che Ibrahim Mohamed
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan telahan seorang pemerhati politik yang menggambarkan lapan cawangan di Kelantan dikatakan akan dibubarkan sekadar tilikan pak nujum untuk mewujudkan situasi tidak tenang parti itu.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, setakat ini setelah bertapaknya Amanah di Kelantan sejak 2016, tiada mana-mana cawangan yang menunjukkan riak untuk dibubarkan dan perkara itu hanya sekadar sindiran apabila Pakatan Harapan bukan lagi sebuah kerajaan.

Bagaimanapun, Che Ibrahim berkata, pihaknya sedia berbincang dengan semua pihak yang tidak puas hati sama ada dalam kalangan ahli atau penyokong luaran bagi memperkukuhkan parti meskipun dakwaan dibuat itu bersifat untuk memecah kesunyian politik di Kelantan buat masa ini.

“Ini tilikan ataupun anggapan tanpa asas yang sengaja disebarkan untuk wujudkan suasana tidak tenang Amanah Kelantan. Amanah di Kelantan masih berfungsi seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan mengatakan kononnya Amanah Kelantan berada di ambang pergolakan dan satu sidang akhbar akan diadakan berkaitan pembubaran lapan cawangan di negeri ini dalam masa terdekat.

Dakwaan tersebut juga tidak menyatakan cawangan yang terlibat namun meminta agar pemimpin parti Amanah melakukan sesuatu untuk mengatasi perkara tersebut kerana ia amat mendukacitakan sekiranya ia benar-benar berlaku.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, satu-satu cawangan yang didaftarkan tidak akan terbubar dengan sebegitu mudah kerana ia perlu mengikut peraturan telah termaktub dalam perlembagaan.

“Ia terbubar menerusi dua cara iaitu atas persetujuan dua pertiga perwakilan melalui satu usul dibuat dalam mesyuarat tahunan atau mesyuarat khas cawangan tersebut dan keduanya pula dibubarkan oleh Amanah Nasional atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak ditubuhkan empat tahun lalu terdapat lebih kurang 356 cawangan Amanah di Kelantan dengan keahlian 26,000 orang yang merupakan paling ramai mengikut negeri-negeri.