Finas beri sumbangan kepada pelawak Ebby Yus

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini memberi sumbangan kepada pelawak Ebby Yus yang menghidap penyakit buah pinggang.

Sumbangan kepada Ebby, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 53, disampaikan pemangku Ketua Pengarah Finas, Shakib Ahmad Shakir menerusi program Ziarah Kasih anjuran agensi itu.

Shakib berkata bantuan yang diberikan kepada Ebby itu menunjukkan komitmen FINAS serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam menghargai jasa para seniman yang menghiburkan masyarakat sehingga kini.

“Kerajaan tetap prihatin dalam menyalurkan bantuan kepada mereka (seniman) walaupun kita menghadapi kekangan kewangan ketika ini,” katanya semasa melawat Ebby di kediamannya di Kampung Baru di sini.

Turut hadir Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali Zed Zaidi dan beberapa wakil persatuan serta rakan-rakan artis.

Ebby yang popular dengan rancangan komedi Simpang Tiga dan Jenaka Kampung Kalut selain pernah membintangi filem XX Ray dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie turut menerima sumbangan daripada Persatuan Seniman Malaysia dan rakan-rakan artis.

Selain penyakit buah pinggang, pelakon kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu turut menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

Sementara itu, Ebby yang bersyukur terhadap sumbangan diterima mengakui tahap kesihatannya ketika ini telah membataskan pergerakannya untuk bergiat aktif dalam bidang lakonan.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini, saya hanya mampu menerima tawaran berlakon dalam studio atau memenuhi undangan dalam program bual bicara sahaja,” katanya sambil menambah doa peminatnya memberi semangat kepada beliau melawan kesakitan dihadapinya.- Bernama