'Takziah buat keluarga Yusof Kelana, Abu Bakar Juah'

Allahyarham Yusof Kelana dan pelakon veteran Abu Bakar Juah.
Allahyarham Yusof Kelana dan pelakon veteran Abu Bakar Juah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pengarah filem Yusof Kelana dan pelakon veteran Abu Bakar Juah yang meninggal dunia semalam.

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Takziah diucapkan buat keluarga insan seni Allahyarham Yusof Kelana dan pelakon veteran Abu Bakar Juah.

"Semoga roh mereka berdua dicucuri rahmat Nya dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata Saifuddin menerusi ciapan di Twitternya @saifuddinabd hari ini.

Yusof Kelana, 66, atau nama sebenarnya Omar Kamarudin yang merupakan pengarah terkenal tanah air meninggal dunia akibat kanser kulit dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, Taman Melawati semalam.

Sebelum ini, media turut melaporkan beliau berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Filem arahan beliau antaranya adalah Juara, Tragedi Oktober, MX3 dan Pontianak Menjerit.

Sementara itu, pelakon veteran Abu Bakar, 72, yang juga bekas Pengarah Kanan Penjara Taiping dilaporkan menderita penyakit kanser hati sejak 2016, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras pagi ini.

Antara filem dan drama lakonan beliau ialah Matinya Seorang Patriot, Senjakala dan Dukun, Ceplos dan Mr. Grey.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkahwin dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980 dan dikurniakan empat cahaya mata.- Bernama