Jun Hao buru kejuaraan kedua Kejohanan Jemputan BAM

Jun Hao akan menentang Chong King pada aksi final esok. - Foto BAM
Jun Hao akan menentang Chong King pada aksi final esok. - Foto BAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao hanya selangkah untuk merangkul gelaran kedua pada Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mara ke final saingan Divisyen Satu kejohanan berkenaan.

Bekas juara remaja Asia yang muncul juara Divisyen Dua minggu lepas, meneruskan rentak cemerlang apabila sekali lagi menewaskan Lim Chong King dengan straight set 21-13, 21-16 dalam masa 37 minit hari ini.

Sebelum ini, pada aksi final Divisyen Dua, Jun Hao menewaskan Chong King 21-19, 21-16.

Jun Hao dan Chong King, masing-masing secara automatik layak ke saingan utama atau Divisyen Satu selepas menghuni dua kedudukan teratas carta liga Divisyen Dua. Kedua-dua saingan itu berlangsung secara liga sepusingan.

“Saya hanya fikir untuk mencari mata demi mata dan tidak terlalu fikirkan kemenangan. Ketiadaan Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Liew Daren membuka peluang kepada saya untuk meraih gelaran ini,” katanya selepas perlawanan yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Pada aksi final esok, Jun Hao akan bertemu Ng Tze Yong yang menundukkan Aidil Soleh Ali Sadikin dengan straight set 21-19, 21-18 dalam masa 45 minit.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Tze Yong di kedudukan kedua carta Divisyen Satu apabila berkongsi tiga mata dengan Jun Hao.

“Saya terlalu mahukan kemenangan sehingga memberi tekanan pada diri sendiri ketika di penghujung perlawanan, namun saya berjaya mengawal perlawanan dan Aidil pula banyak melakukan kesilapan.

Artikel Berkaitan:

“Jurulatih juga berpuas hati dengan prestasi saya kerana berjaya mengawal perlawanan dan tekanan dengan baik,” kata Tze Yong. - Bernama