Tidak patuh SOP, Taman Awam Vision diarah tutup tujuh hari

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Taman Awam Vision di sini yang selalu menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah, diarahkan tutup selama tujuh hari selepas pihak pengurusannya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan hari ini.

Operasi Bersepadu yang dijalankan pihak polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu dibuat bermula jam 5.00 petang selepas menerima maklumat kehadiran orang ramai di taman tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam kenyataan malam ini berkata, pihak KKM mengeluarkan notis arahan penutupan itu kerana pengurusannya tidak mengawal jumlah pengunjung yang hadir.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun masing-masing RM1,000 terhadap dua peniaga yang berniaga di kawasan taman itu kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk tiada penjarakan fizikal dalam kalangan pelanggan mereka.

"Polis akan meneruskan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: