Perikatan Nasional akan berkubur atau masih relevan

Syed Agil Alsagoff dan Dr Kamarul Zaman Yusoff
Syed Agil Alsagoff dan Dr Kamarul Zaman Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional akan memperkuatkan pengaruh dan peranan Muafakat Nasional dalam arena politik tanahair.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, pengaruh Bersatu di bawah kepimpinan Muhyiddin akan menyerlahkan kewibawaan Muafakat Nasional.

Malah, katanya, penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional mampu untuk memperkasakan institusi politik Melayu-Islam dan membawa kepada perpaduan tiga parti Melayu Islam yang berpengaruh di negara ini.

"Permuafakatan di bawah bumbung gabungan parti itu walau bagaimanapun haruslah berteraskan kepada integriti dan prinsip politik untuk memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa Melayu.

"Ini dalam aspek termasuk kemakmuran negara bangsa, keikhlasan dan kejujuran parti-parti Melayu dalam memperjuangkan politik Melayu Islam hari ini dan akan datang tanpa mementingkan parti masing-masing.

"Ia juga bagi mencapai matlamat perjuangan politik yang saksama dan mengukuhkan ukhuwah dan kesetiaan dalam kalangan parti untuk merancang dan melaksanakan perjuangan politik tanah air dengan penuh keyakinan dan kepercayaan sesama anggota parti tanpa menimbulkan sifat kegopohan atau keraguan sesama mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, katanya, dalam erti kata lain, Muafakat Nasional merupakan platform baharu dalam mengubah landskap budaya politik tanah air yang berteraskan kepada perpaduan dan kesejahteraan politik.

Menurutnya, penyatuan itu juga dapat memperjuangkan politik Melayu Islam yang lebih meyakinkan dan berpengaruh dalam kalangan rakyat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia boleh dikatakan satu lagi rangkaian gabungan parti BN yang memperjuangkan hala tuju politik golongan Melayu Islam tanah air," katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai adakah relevan atau sebaliknya Perikatan Nasional selepas ini, beliau berpandangan Perikatan Nasional akan terkubur selepas Bersatu menyertai Muafakat Nasional.

Menurutnya, ini disebabkan oleh Bersatu adalah pelopor Perikatan Nasional dan yang kedua Perikatan Nasional tidak didaftarkan sebagai gabungan parti politik, menyebabkan kesukaran bagi anggota-anggota komponen parti itu dapat memberikan komitmen padu terhadap gabungan ini.

"Walau bagaimanapun, bukan satu kejutan sekiranya ahli-ahli komponen Perikatan Nasional yang lain akan membentuk platform rangkaian parti politik baharu menggantikan Perikatan Nasional sekiranya Bersatu dan Pas menarik dari daripada gabungan tersebut," katanya.

Sementara itu, pendapat berbeza pula dilontarkan Pensyarah kanan Kolej Undang-undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff mengenai masa depan Perikatan Nasional.

Dr Kamarul berpandangan Perikatan Nasional masih relevan walaupun Bersatu mengumumkan untuk menyertai Muafakat Nasional hari ini kerana penyertaan parti itu dalam Muafakat Nasional ialah sebahagian daripada grand coalition sahaja.

"Perikatan Nasional masih lagi relevan kerana seperti disebut oleh Perdana Menteri, Muafakat Nasional ialah sebahagian daripada grand coalition Perikatan Nasional sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Penganalisis politik itu berkata, cuma Perikatan Nasional selepas ini akan didominasi oleh Muafakat Nasional sepenuhnya.

"Bila Bersatu menyertai Muafakat Nasional maka peluang UMNO dan Pas untuk mendominasi Perikatan Nasional secara sendirian jadi berkurang," katanya.

Beliau berpandangan faktor tersebut juga menjadi alasan kenapa sebahagian ahli UMNO dan Pas sukar menerima kemasukan Bersatu dalam Muafakat Nasional sebelum ini.

Terdahulu, pemangku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional.

Beliau dalam satu rakaman video berkata, ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu kerana penyatuan dengan UMNO dan Pas itu akan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak mengkhianati perjuangan Bersatu dan tiada sebab untuknya mengkhianati parti ditubuhkannya bersama beberapa pengasas lain, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Bagi Muhyiddin, apa yang lebih penting ialah perjuangan Bersatu mesti diteruskan kerana pemimpin parti datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti perlu dipertahankan.