Maziah meniaga emas ketika belajar

Maziah pernah menjadi penaja bagi sebuah program realiti keagamaan sebelum ini.
Maziah pernah menjadi penaja bagi sebuah program realiti keagamaan sebelum ini.
A
A
A

PELBAGAI cabaran ditempuhinya sewaktu mula bertapak dalam dunia perniagaan menjadi kenangan paling berharga buat ikon usahawan wanita ini yang telah memulakan perniagaannya sejak tahun 2009 lagi.

Pengasas Almas Beauty and Health (Almas), Datin Maziah Mohamed, 52, berkata, sebelum jenama produknya itu dikenali ramai, beliau terlebih dahulu bermula dari bawah.

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini mengakui pernah menjadi stokis bagi beberapa produk lain sebelum ini.

“Bagi saya, sebelum memulakan sesuatu, kita perlu kaji terlebih dahulu dan buat perancangan rapi untuk mengelakkan sesebuah perniagaan atau empayar itu kecundang.

“Disebabkan itulah, saya sendiri bermula dengan menjadi stokis dalam bidang kesihatan dan kosmetik ini di samping mendalami pasaran bagi produk tersebut,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mengulas lanjut, ibu kepada lima cahaya mata ini berkata, kebanyakan produk yang dipasarkannya sewaktu menjadi stokis sebelum ini mendapat sambutan daripada pelanggan dan sejak itu, beliau mula terdetik untuk mengeluarkan produknya sendiri.

Maziah berkata, beliau sememangnya seorang yang mengutamakan kesempurnaan dan disebabkan itulah syarikatnya sentiasa mengutamakan kualiti produk yang dihasilkan demi kepuasan pelanggan.

“Anak saya sendiri seawal usia empat tahun sudah mengamalkan pengambilan produk kami ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya bukan kejar duit kerana banyak hala tuju saya dalam bidang perniagaan ini khususnya bagi memberi produk terbaik demi menjamin kesihatan pelanggan-pelanggan kami.

“Alhamdulillah produk kami semakin dikenali selepas saya banyak keluar televisyen, radio, media sosial dan media massa,” katanya.

Maziah bergambar bersama suaminya, Datuk Hassanal Bolkiah Abd Wahab pada satu majlis.
Maziah bergambar bersama suaminya, Datuk Hassanal Bolkiah Abd Wahab pada satu majlis.

Dalam pada itu, Maziah memaklumkan beliau perlu berusaha keras untuk memastikan produknya itu kekal bersaing dalam pasaran malah ada ketika pihaknya terpaksa meninggalkan keluarga seketika bagi menumpukan perhatian kepada perniagaan.

Beliau mengakui amat beruntung kerana mendapat sokongan padu daripada suaminya, Datuk Hassanal Bolkiah Abd Wahab dan ahli keluarga lain dalam meneruskan kerjaya dalam bidang perniagaan tersebut.

“Kebanyakan anak membesar dengan pembantu rumah dan emak saya kerana banyak masa ketika itu dihabiskan untuk fokus kepada perniagaan.

“Arwah ibu sebenarnya menjadi pembakar semangat dan membantu selama ini. Malah, minat berniaga saya bermula sejak bangku sekolah lagi apabila sering ikut ibu berniaga kain sutera, emas dan lain-lain,” katanya.

Kain sutera

Menceritakan lebih lanjut mengenai pengalamannya, Maziah berkata, beliau sebelum ini pernah mengambil jurusan kejururawatan di sebuah institusi pengajian dan turut memperoleh keputusan yang memberangsangkan.

Menurut Maziah, beliau juga aktif berniaga kain sutera, emas dan beberapa perniagaan lain sewaktu menuntut di institusi berkenaan bagi menambah pendapatan.

“Saya aktif meniaga sewaktu belajar dan rakan-rakan turut dapat melihat kesungguhan saya dalam bidang perniagaan pada ketika itu.

“Arwah ibu saya ialah orang yang bertanggungjawab menjadikan siapa saya pada hari ini. Kegigihan beliau dalam perniagaan tanpa rasa malu menjadi pembakar semangat buat saya kekal dalam bidang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Maziah berkata, buat masa ini, beliau juga berdepan beberapa cabaran lain dalam mempertahankan jenama produknya yang diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Maziah sebelum ini pernah berniaga sewaktu menuntut di sebuah institusi pengajian kejururawatan.
Maziah sebelum ini pernah berniaga sewaktu menuntut di sebuah institusi pengajian kejururawatan.

Beliau berkata, pihaknya menyedari perkara itu sejak setahun kebelakangan ini setelah mengenal pasti terdapat produk palsu yang dipasarkan menerusi aplikasi beli-belah dalam talian.

“Jika dilihat, produk tersebut memang sama dengan jenama saya namun bila imbas kod, kami dapat kesan URL dipaparkan itu adalah berbeza.

“Jadi kami telah membuat laporan polis dan agensi berkaitan bagi memastikan nama produk kami tidak buruk jika berlaku sebarang perkara tidak diingini kepada pelanggan yang menggunakan produk tiruan itu,” katanya.

Tambah Maziah, pihaknya juga kini dalam proses bagi mengeluarkan produk-produk baharu untuk dipasarkan kepada pelanggan setia mereka di seluruh Malaysia.

“Saya berharap anak-anak saya akan dapat bergerak bersama-sama bagi mewarisi empayar perniagaan yang dibangunkan ini.

“Alhamdulillah menantu dan anak saya sekarang pun ada yang dah bersama-sama membantu menjaga operasi di kilang-kilang kami,” katanya.

Profil

  • Nama: Datin Maziah Mohamed
  • Kerjaya: Pengasas Almas Beauty and Health
  • Umur: 52 tahun
  • Asal: Tanah Merah, Kelantan
  • Suami: Datuk Hassanal Bolkiah Abd. Wahab
  • Anak:
  • Nurul Afiqah, 25.
  • Mohd Nasrul Afiq, 24.
  • Muhammad Haziq, 21.
  • Puteri Nadia, 17.
  • Muhammad Danish, 9.