Palestin bukan untuk dijual

Gambar menunjukkan kawasan penempatan haram Givat Ze'ev di Tebing Barat pada 25 Jun lalu. - Foto AFP
Gambar menunjukkan kawasan penempatan haram Givat Ze'ev di Tebing Barat pada 25 Jun lalu. - Foto AFP
A
A
A

PERJANJIAN damai antara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Israel yang dipersetujui oleh kedua-dua buah negara dan akan ditandatangani secara rasmi di Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat (AS) secepat mungkin telah menunjukkan tanda-tanda awal bahawa ia akan menjadi realiti.

Ia bermula apabila Menteri Kebudayaan dan Sukan rejim Zionis ketika itu, Miri Regev yang kini Menteri Pengangkutan melawat Abu Dhabi pada Oktober 2018 sekali gus menjadi menteri pertama Yahudi mengunjungi negara tersebut.

Menteri Komunikasi Israel pada tahun 2018, Ayoub Kara kemudian melawat negara tersebut dan diikuti oleh Menteri Luar, Yisrael Katz yang mendesak supaya hubungan rasmi dijalin antara kedua-dua buah negara.

Situasi itu merupakan petanda awal bahawa akan termeterainya perjanjian damai apabila Menteri Hal Ehwal UAE, Anwar Gargash pada Mac lalu mendesak supaya dipercepatkan hubungan normal antara dunia Arab dengan rejim Zionis itu sekali gus mampu menyelesaikan konflik melibatkan negara Yahudi itu.

Menurut laporan berita Walla, persetujuan perjanjian itu dicapai dua bulan lalu apabila cita-cita rejim Zionis yang mahu meluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat telah memainkan peranan penting bagi membolehkan hubungan diplomatik antara UAE dengan Israel diwujudkan dengan cepat.

Perjanjian tersebut diumumkan selepas Tel Aviv bersetuju menangguhkan projek memperluas penempatan haram Yahudi seperti yang menjadi hasrat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netahanyu pada awal tahun ini.

Bagaimanapun laporan berita Walla pula menyatakan perjanjian damai itu juga adalah idea daripada Duta UAE ke AS, Yousef al-Otaiba pada Jun lalu yang mengesyorkan supaya hubungan normal dengan Israel diwujudkan sebagai pertukaran kepada peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Idea itu kemudian dibawa kepada pengetahuan wakil khas rundingan antarabangsa Trump, Avi Berkowitz. Penasihat kanan Presidan AS iaitu Jared Kushner yang juga menantunya menyukai idea tersebut dan meminta Berkowitz berusaha merealisasikannya.

Artikel Berkaitan:

Netanyahu
Netanyahu

Dipendekkan cerita, beberapa pegawai AS kemudian mengadakan perbincangan dengan Israel dan pegawai-pegawai UAE sehingga menyebabkan terdapat panggilan telefon antara Trump, Netanyahu dan Putera Mahkota UAE, Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Justeru, persetujuan pun dicapai bagi mewujudkan perjanjian damai yang bersejarah tersebut antara UAE dengan Israel.

Namun, portal Intelligencer pada 13 Ogos lalu menyatakan Tel Aviv tidak pernah berjanji untuk memperlahankan atau menghentikan pembinaan penempatan haram tersebut di wilayah yang didudukinya.

Justeru, timbul persoalan apakah masa depan penduduk Palestin yang kini tidak berdepan dengan pencerobohan rejim Zionis di Tebing Barat akan berterusan terjadi selepas perjanjian itu ditandatangani secara rasmi?

Sementara itu, bekas perunding Timur Tengah semasa pentadbiran parti Demokrat dan Republikan, Dennis Ross berkata, antara sebab yang mungkin menyebabkan UAE menandatangani perjanjian itu ialah negara tersebut mungkin akan mendapat senjata-senjata canggih.

Bersejarah

UAE yang ditubuhkan pada tahun 1971 kini merupakan sebuah negara yang kaya tetapi mempunyai jumlah penduduk yang kecil.

Ia telah lama mahu memiliki senjata-senjata canggih tetapi AS hanya menjual kepada sejumlah negara tertentu yang menjalin hubungan damai dengan Israel. Memiliki senjata canggih itu amat penting kerana ia tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Iran yang juga musuh AS dan rejim Zionis.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Trump pada Khamis lalu, kerjasama antara UAE dengan Israel adalah turut melibatkan pelaburan ekonomi, pelancongan, keselamatan, teknologi, tenaga dan penerbangan serta pembukaan kedutaan.

Penglibatan agensi perisikan Israel, Mossad dalam rundingan damai itu juga berlaku apabila laporan Channel 12 di Israel melaporkan bahawa mewujudkan hubungan dengan negara-negara Arab dianggap menjadi tanggungjawabnya.

Ketua perisikan rejim Zionis, Yossi Cohen juga dilaporkan secara rahsia melawat UAE sejak beberapa tahun lalu untuk mengusahakan perjanjian damai itu.

Tanggungjawab Mossad dalam isu tersebut ditunjukkan melalui satu kenyataan daripada pejabat Netanyahu.

Emiriyah Arab Bersatu merupakan negara ketiga selepas Mesir dan Jordan di dunia Arab yang bersetuju mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel. - AFP
Emiriyah Arab Bersatu merupakan negara ketiga selepas Mesir dan Jordan di dunia Arab yang bersetuju mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel. - AFP

Perdana Menteri rejim Zionis itu telah menghubungi Cohen dan mengucapkan terima kasih berhubung pertolongan Mossad membantu mewujudkan hubungan dengan negara-negara Teluk sekali gus membawa kepada perjanjian damai tersebut.

Sebelum ini, Israel mempunyai hubungan diplomatik dengan Mesir dan Jordan. Ia turut menandatangani perjanjian Oslo 1 dan II dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tetapi keamanan tidak juga wujud di Asia Barat.

Namun, sehingga kini nasib penduduk Palestin masih ditindas oleh Israel yang mula wujud pada tahun 1948 dalam pelbagai isu termasuk peluasan penempatan haram Yahudi dan isu perikemanusiaan seperti serangan tentera dan rumah penduduk tempatan di tanah air sendiri dirobohkan atas pelbagai alasan.

Sehubungan itu, ratusan penduduk Palestin berhimpun dalam satu tunjuk perasaan pada Jumaat lalu di Tebing Barat dan Gaza dengan salah seorang daripada mereka membawa sepanduk yang menyatakan ‘Palestin bukan untuk dijual’ dalam krisis yang tidak pernah aman di rantau berkenaan.

Abu Rudeineh yang juga penasihat kanan Presiden Palestin, Mahmud Abbas yang membaca kenyataan di Ramallah baru-baru ini menganggap rundingan tersebut sebagai satu pengkhianatan sama seperti Turki manakala Iran menyatakan ia tidak akan membawa keamanan sebaliknya menegaskan UAE akan terperangkap dalam permainan api rejim Zionis.

Justeru, benarlah seperti ayat yang terdapat dalam sepanduk tunjuk perasaan itu kerana Israel tidak pernah keluar dari Palestin tetapi rumah penduduk diroboh dan tiada pembangunan ekonomi sehingga menyebabkan kehidupan mereka terhimpit akibat kemiskinan disebabkan serangan rejim Zionis yang boleh berlaku pada bila-bila masa.