Pelancong asing masuk ramai, keluar sedikit

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, hampir 30 peratus daripada 22.6 juta pelancong asing yang memasuki negara ini tidak pulang je negara masing-masing tahun lepas.

Mohd Azis berkata, kesemua pelancong asing itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, sebahagian mereka menggunakan alasan lawatan sosial tetapi sebenarnya tinggal secara haram di Malaysia.

Menurut Mohd Azis, seperti diamalkan di pintu-pintu masuk negara lain, pihak Imigresen melaksanakan Notis Tolak Kemasukan (NTL) ke atas pelancong-pelancong yang tidak mematuhi syarat memasuki negara ini.

"Kita terpaksa berikan NTL supaya pelancong tidak menyalahgunakan pas lawatan sosial atas faktor keselamatan.

"Antara kesalahan lain yang turut dilakukan termasuk pemalsuan status pelajar, pasport rosak dan tempoh pasport yang hampir tamat,"katanya selepas melawat kaunter Imigresen di KLIA di sini hari ini.

Menurut Azis, pada tahun lalu Jabatan Imigresen merekodkan sejumlah 85,946 warga asing dikenakan NTL di semua pintu masuk negara ini.

Perintah larangan masuk itu yang diperuntukkan mengikut Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 dilaksanakan kerana dicurigai boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Mohd Azis memaklumkan masalah kesesakan di Kompleks Bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru sedang diatasi selepas kabinet meluluskan sejumlah peruntukan untuk menaik taraf dan memperbaiki sistem sedia ada.

Menurut Mohd Azis, peruntukan sebanyak RM10 juta telah diluluskan untuk menambah baik sistem sedia ada termasuk menambah pagar automatik dan sistem kawalan Imigresen automatik bagi penunggang motosikal (MBike).

"Peruntukan yang diberikan kini dalam proses perolehan dan proses penambahbaikan itu dijangka mengambil masa empat hingga lima bulan,"ujarnya.

Mohd Azis berkata CIQ mencatatkan 200,000 pergerakan lalu lintas sehari termasuk 40,000 penunggang motosikal.