Rasuah dalam kalangan penguat kuasa

Asri Janggut (kiri) hadir di Bukit Aman, hari ini untuk direkod keterangan.
Asri Janggut (kiri) hadir di Bukit Aman, hari ini untuk direkod keterangan.
A
A
A

BEBERAPA video mengenai pendedahan Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut dalam Facebook beliau mengenai aktiviti perjudian dan penyeludupan rokok di sekitar kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor minggu lalu benar-benar menggemparkan seluruh Malaysia.

Dalam dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan 8 minit 29 saat yang disiarkan secara langsung oleh Mohd Asri, pemilik akaun Facebook Hot Burger Malaysia itu mendakwa premis perniagaan diusahakan warga Indonesia ‘kebal’ kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan jual rokok seludup.

Video tersebut turut mendakwa pihak berkuasa tidak mengenakan tindakan kerana ada segelintir kakitangannya menerima habuan daripada pengusaha kedai mesin judi.

Bermula daripada penularan dua video itu sehingga pihak berkuasa melakukan operasi besar-besaran meroboh dan menyita premis-premis haram di kawasan berkenaan, dalam sekelip mata masyarakat umum mula berbincang segala kepincangan dan penyelewengan yang tidak diketahui ramai orang.

Lidah Pengarang Sin Chew Daily memuji operasi besar-besaran yang dilancarkan oleh pihak berkuasa terlibat seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan beberapa agensi lagi bagi memastikan apa sahaja kegiatan yang melanggari undang-undang perlu dibanteras serta-merta.

Bersubahat

“Kewujudan pusat perjudian haram dan penjualan rokok haram sememangnya sudah lama berlaku di negara kita. Malangnya, terdapat segelintir pegawai penguat kuasa yang sanggup bersuhabat dengan melindungi pengusaha atau peniaga terbabit.

“Beberapa kakitangan penguat kuasa telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan meminta suapan. Perbuatan mereka ini perlu dikutuk. Kita tidak boleh membiarkan gejala rasuah menular dalam kalangan penguat kuasa,” tulis akhbar tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Lidah Pengarang Nanyang Siang Pau pula mengulas, kes yang didedahkan oleh Asri Janggut telah menyedarkan kita betapa seriusnya kes rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Kita memuji tindakan segera yang diambil oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador apabila beliau sedia bertemu dengan Asri Janggut untuk berbincang masalah yang timbul.

“Walaupun kes berkenaan berlaku di Bandar Baru Sungai Buloh, namun mungkin ia hanya salah satu kes yang berjaya dibongkar. Pihak berkuasa diharap dapat meningkatkan usaha untuk membanteras apa juga kegiatan jenayah hasil kerjasama yang diberikan oleh orang ramai.

“Pihak berkuasa sepatutnya memandang lebih serius dan mengkaji sedalam-dalamnya bagaimana untuk menghapuskan kegiatan rasuah serta penyalahgunaan kuasa dengan sepenuhnya, lebih-lebih lagi membabitkan kakitangan kerajaan,” kata akhbar itu lagi.

Sekiranya tiada pembongkaran yang dilakukan oleh penjual burger tersebut, kemungkinan kegiatan perjudian haram dan penjualan rokok di Bandar Baru Sungai Buloh akan terus dibiarkan beroperasi sehingga hari ini.

“Melalui pendedahan yang dibuat secara langsung, ia telah berjaya menarik perhatian pihak berkuasa.

“Kita harap orang ramai juga boleh menggunakan saluran yang sesuai melaporkan segala kegiatan haram yang berlaku di tempat sendiri untuk dilaporkan kepada pengetahuan pihak berkuasa,” kata akhbar Cina itu.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian