Taktik jual arak guna van terbongkar

Antara minuman keras yang dirampas PPM Pelabuhan Klang di Taman Kim Chuan, Klang.
Antara minuman keras yang dirampas PPM Pelabuhan Klang di Taman Kim Chuan, Klang.
A
A
A

KLANG - Kegiatan sindiket penjualan minuman keras di tepi jalan tumpas dengan rampasan 1,800 tin minuman terbabit bernilai lebih RM20,000 di Taman Kim Chuan, di sini semalam.

Operasi pada jam 7.30 petang itu turut menahan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India berusia 50 tahun.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kejayaan itu hasil unit risikan PPM Pelabuhan Klang yang mengesan sebuah van di Pandamaran yang menjual arak secara tanpa cukai.

"Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak memecut laju van tersebut sebelum berjaya dipintas di Taman Kim Chuan.

"Pemeriksaan di dalam van itu menemui sebanyak 1,800 tin arak yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM24,199.10," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rosman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek bergerak menggunakan kenderaan sebagai 'kedai bergerak' untuk menjual arak bagi memudahkan melarikan diri.

Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen.

Artikel Berkaitan: