X

Kindly register in order to view this article
!

Cadangan bentuk jawatankuasa, pasukan khas perlu libatkan Cuepacs

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran melibatkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) atau wakil pekerja dalam pembentukan jawatankuasa/pasukan petugas khas bagi mengubahsuai sistem penyampaian perkhidmatan awam negara.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat mencadangkan perkara itu bagi membolehkan pandangan secara menyeluruh daripada semua penjawat awam diambil kira dalam melaksanakan usaha-usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, penglibatan Cuepacs dan wakil pekerja dalam jawatankuasa khas ini membolehkan setiap langkah penambahbaikan dibentuk daripada mereka yang sememangnya pakar serta mewakili pihak yang akan melaksanakan penambahbaikan tersebut.

"Input dan pandangan daripada pihak yang akan melaksanakan penambahbaikan tersebut amat penting dalam menjayakan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita tidak mahu langkah penambahbaikan itu jika dilaksanakan pada masa akan datang tidak memacu sistem perkhidmatan awam bergerak ke depan akibat daripada kesilapan pada peringkat awal pembentukan jawatankuasa khas ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengusulkan pembentukan jawatankuasa atau pasukan petugas khas untuk mengubahsuai sistem penyampaian perkhidmatan awam negara bagi membantu pemulihan ekonomi dengan lebih pantas selepas terjejas teruk akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Adnan berkata, kerajaan sudah tidak mempunyai masa lagi untuk membuat kajian semula sekiranya langkah-langkah penambahbaikan tersebut gagal dilaksanakan.

Tambahnya, Cuepacs juga mahu kerajaan memastikan setiap penambahbaikan yang dilaksanakan tidak meminggirkan kebajikan penjawat awam.

"Setiap dasar atau cadangan yang bertujuan menambahbaik sistem perkhidmatan awam perlu dilaksanakan dan ditunaikan sekiranya telah diumumkan.

"Cuepacs tidak mahu rancangan penambahbaikan sistem perkhidmatan awam termasuk dalam hal-hal berkaitan kebajikan penjawat awam ditangguhkan setelah pelbagai kajian dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, Adnan turut menyeru agar semua penjawat awam sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan perubahan normal baharu dalam kehidupan ketika ini.

Katanya, penjawat awam perlu terus melihat ke hadapan, mengurangkan kerenah birokrasi serta bekerja dengan lebih baik agar dapat menjayakan hasrat kerajaan memulihkan ekonomi negara dengan lebih pantas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!