X

Kindly register in order to view this article
!

Sistem penyampaian perkhidmatan awam akan diperkasakan - PM

Muhyiddin ketika berucap dan berdialog dalam Sesi Townhall Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Johor, hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan penubuhan sebuah jawatankuasa bertujuan meneliti dan mengubah suai sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi pemulihan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, tindakan perlu dilakukan untuk melihat birokrasi dapat dianjak dalam situasi baharu.

Beliau berkata, penjawat awam bekerja tertakluk kepada peraturan pekeliling perkhidmatan, undang-undang kewangan dan pengurusan.

“Saya tidak nafikan itu penting, tetapi kalau kita hanya berpandukan keadaan sebegitu dan tiada satu langkah baharu dibuat, saya bimbang bahawa urusan kita untuk memulihkan ekonomi...jangan cakap untuk menstrukturkan semula...reform ekonomi kita, tidak akan berlaku sepantas mana yang kita harapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Townhall Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di Hotel Thistle di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Perdana Menteri berkata, jika penjawat awam masih mengekalkan cara lama bekerja, dibimbangkan mereka tidak akan berjaya membantu memulihkan ekonomi negara sedangkan pada masa sama kerajaan komited untuk terus memerangi rasuah sebagai agenda utama dan pada masa sama menumpukan soal keselamatan negara.

“Sebagai penjawat awam, yang tidak boleh dielakkan ialah prinsip integriti. Kami di peringkat Persekutuan komited untuk terus meletakkan isu memerangi rasuah sebagai agenda utama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin memberitahu, Johor mempunyai banyak destinasi pelancongan, kemudahan riadah dan taman tema untuk dikunjungi.

Katanya, negeri itu memerlukan pelabur dan pengunjung serta pelancong untuk menyokong industri pelancongan iaitu antara sektor yang terjejas teruk akibat Covid-19 pada hari ini.

“Bila kita sudah memulakan operasi dan bekerja seperti mana kita biasa buat dalam keadaan ekonomi yang agak lembab dan kita tak beri apa-apa bentuk sokongan untuk tentukan proses yang diperlukan bagi membantu mereka ini disegerakan, contohnya pelesenan, kelulusan bangunan dan lain-lain. Saya kira saudara (penjawat awam) lebih faham bahawa ini akan membawa kesan buruk kepada ekonomi Johor sebagai contoh dan Malaysia amnya.

“Sebab itu, untuk kembali semula dalam ekonomi agak rancak memerlukan sokongan penjawat awam, saya mohon kerjasama untuk melihat cara lebih dekat bagaimana kita dapat membantu usahawan supaya ekonomi negara akan cepat pulih seperti sedia kala,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!