Najib tanya mana calon PH?

Najib (kiri) bersama calon BN bagi PRK DUN Slim, Mohd Zaidi.
Najib (kiri) bersama calon BN bagi PRK DUN Slim, Mohd Zaidi.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz dapat meneruskan usaha baik yang dilakukan Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berharap agar Mohd Zaidi diberikan peluang untuk memperkukuhkan BN menjadi suara dan perjuangan rakyat.

“Saya yakin usaha baik arwah Datuk Khusairi akan dapat diteruskan di DUN Slim oleh calon kita Mohd Zaidi. Berikanlah peluang dan perkukuhkan BN untuk jadi suara dan perjuangan rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyindir Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menghantar calon mereka untuk bertanding pada PRK DUN Slim.

“Cari PH kat DUN Slim. Aik tak jumpa. Ramai orang sini pun tanya saya. Kenapa PH hilangkan diri? Saya cakap lebih baik PH tak ada. 22 bulan jadi kerajaan apa mereka buat?

“Potong bantuan B40. Peneroka hilang nafkah. Subsidi dikurangkan. Manifesto tak tunai. Ekonomi merudum. Kos sara hidup naik. Rakyat hilang kerja,” katanya.

Hari ini, PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN dan dua calon Bebas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan senarai calon yang bertanding jam 10.35 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Pada PRK itu, BN mempertaruhkan Mohd Zaidi yang merupakan anak tempatan Slim. Pemuda berusia 43 tahun itu juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.

Seorang lagi calon adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas menggunakan simbol pokok mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, 42, yang juga seorang bekas guru menggunakan simbol buku.