Bersatu Rembau terkejut dua pemimpinnya digugurkan

Bakly (tengah) dan Ramly (kiri) pada sidang media hari ini.
Bakly (tengah) dan Ramly (kiri) pada sidang media hari ini.
A
A
A

REMBAU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Rembau terkejut apabila dua pemimpin utama mereka turut berada dalam senarai 282 individu terhenti keahlian berkuat kuasa serta-merta seperti yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.

Ketua Bersatu Bahagian Rembau, Bakly Baba berkata, melalui notis makluman yang disiarkan melalui beberapa akhbar hari ini dua nama individu iaitu Naib Ketua Bahagian, Datuk Ramly Awaluddin dan Ketua Srikandi Bahagian, Masmarina Abdul Malik, digugurkan keahlian.

Seorang lagi yang tersenarai ialah bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Rembau, Mohamad Jani Ismail yang sebelum ini telah mengisytiharkan keluar daripada Bersatu.

“Saya memanggil beliau (Ramly) dan Ketua Srikandi untuk meminta penjelasan tetapi mereka menafikan.

"Saya anggap ini mainan pihak yang mahu membabitkan beliau dalam senarai itu dengan ‘blackout’, sedangkan beliau masih mahu bersama kita dan terus berjuang bersama Bersatu Bahagian Rembau," katanya.

Bakly Baba
Bakly Baba

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Bahagian Rembau di Rantau hari ini.

Tambahnya, beliau telah meminta kedua-dua mereka membuat surat penafian kepada pihak atasan supaya tidak disingkirkan

Artikel Berkaitan:

Katanya, ada kemungkinan kedua-dua mereka ini difitnah serta sengaja melakukan taktik kotor untuk menjatuhkan Bersatu Bahagian Rembau.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan seramai 282 individu terhenti keahlian Bersatu berkuat kuasa serta-merta kerana didapati terbabit dengan kumpulan ‘Blackout’, iaitu gerakan menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan itu menurut Hamzah, diambil selaras dengan Fasal 10.2.2, 10.2.3 dan 10.3.4 Perlembagaan Bersatu selepas pihaknya menjalankan siasatan terhadap aduan yang dikemukakan kepada parti.

"Dua kes lain di bahagian Rembau ini, seorang memang tak mahu bersama kita, tetapi dua individu ini mungkin difitnah malah Ramly pada hari ini juga sebagai Ketua Penyelaras Persidangan Armada.

"Kita tunggu sahaja, setakat ini kita belum menerima sebarang surat mengenai keahlian yang digugurkan," katanya.