Malakat Grocer 812 perkenal program harga subsidi kepada keluarga B40

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim (kanan) ketika Majlis Perasmian Malakat Grocer 812 Taman Putra Perdana yang disempurnakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (dua dari kiri).
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim (kanan) ketika Majlis Perasmian Malakat Grocer 812 Taman Putra Perdana yang disempurnakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan (dua dari kiri).
A
A
A

MALAKAT Grocer 812 Taman Putra Perdana yang dibuka sejak semalam memperkenalkan Program Bantuan Makanan Fakir Miskin khusus untuk keluarga yang layak dan berpendapatan rendah (B40) di Taman Putra Perdana, Puchong.

Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) yang juga Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, program tersebut memberi peluang keluarga terpilih untuk membeli barangan makanan asas pada harga harga subsidi.

Menurutnya, insentif pertama kali diperkenalkan itu antara program khidmat masyarakat

seiring matlamat untuk menubuhkan 100 Malakat Grocer 812 dalam tempoh tiga bulan akan datang supaya lebih ramai dapat dibantu.

“Untuk memohon bantuan subsidi makanan, pengguna boleh mengisi borang melalui link https://bit.ly/B40PutraPerdana,” katanya selepas majlis perasmian Malakat Grocery 812 di sini.

Perasmian disempurnakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Terdahulu beliau berkata, Malakat Grocer 812 merupakan projek berimpak tinggi selepas Malakat Mall di Cyberjaya bertujuan menyatukan kuasa ekonomi umat Islam secara berpusat.

Menurutnya, Malakat Mall menyasarkan membuka 5,000 Malakat Grocer 812 dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sasaran itu dapat dicapai melalui caruman RM100 sebulan oleh 1 juta ahli yang berdaftar dengan KoPPIM.

“Malakat Grocer 812 juga memberi peluang kepada orang ramai untuk berbelanja dan menjadi 'pemilik' bersama melalui pelaburan konsisten sebagai ahli KoPPIM.

“Caruman sebanyak RM100 sebulan dan dana ahli dilaburkan ke beberapa projek berimpak tinggi terpilih supaya dapat memberi manfaat besar kepada ahli KoPPIM membina ekosistem baharu ekonomi Islam," katanya.

Menurutnya Malakat Grocer 812 di Lingkaran Putra Perdana Off Jalan Putra Perdana 5C, Taman Putra Perdana itu turut menyediakan peluang kepada usahawan bumiputera dan Muslim memasarkan produk untuk komuniti setempat.

Tarikan utama di premis perniagaan itu ialah produk keluaran usahawan kecil dan sederhana bumiputera dan Muslim seperti di Malakat Grocer, Cyberjaya.

Selain pelbagai barangan keperluan harian, pasar raya yang beroperasi setiap hari bermula dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam itu turut menawarkan dua kiosk makanan popular dari Malakat Mall iaitu Bunch-Oh 812 dan jenama minuman bubble tea, Tea Amo.