X

Kindly register in order to view this article
!

JBPM bersiap awal hadapi banjir di Kelantan

Md Salleh (depan) mengetuai lapan bot yang digunakan dalam Kursus Pengendalian Bot Siri 2 membabitkan 40 peserta termasuk 13 anggota yang baharu melapor diri ke JBPM Kelantan.
A
A

TUMPAT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan melakukan persediaan awal bagi menghadapi banjir pada musim Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada penghujung tahun ini.

Pengarah JBPM negeri, Md Salleh Sarbini berkata, persediaan termasuklah memberi pendedahan kepada 40 anggota dan pegawai termasuk 13 mereka yang baharu melaporkan diri ke jabatan itu.

Menurutnya, Monsun Timur Laut yang berlaku setiap tahun membawa hujan lebat terutama di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Keadaan mencabar dengan bentuk muka bumi, sungai dan kederasan arus yang berbeza berbanding banjir kilat di negeri di Pantai Barat.

“Jadi semua termasuk 13 anggota dari pelbagai negeri yang baharu bertugas di Kelantan perlu mahir tentang selok-belok keadaan sungai dan sebagainya supaya operasi menyelamat mangsa banjir berjalan lancar,” katanya pada Kursus Pengendalian Bot Penyelamat Siri 2 di Sungai Kebun, Pulau Ular di sini.

Kursus menggunakan lapan bot aluminium penyelamat 60hp membabitkan modul antaranya kemahiran mengendalikan bot, keyakinan diri ketika dalam air, pemanduan bot pada waktu malam, membaca isyarat lampu dan teknik menyelamat serta memindahkan mangsa dari bot ke bot yang sedang bergerak dua hala.

Beliau berkata, kemahiran dalam pengendalian bot penyelamat terutama pada waktu malam antara aspek terpenting yang ditekankan di dalam kursus anggota JBPM berkenaan.

“Banjir boleh menyebabkan bekalan elektrik terputus dan memberi cabaran yang amat besar kepada anggota penyelamat untuk melakukan operasi menyelamat mangsa dalam cuaca yang gelap dan keadaan banjir arus deras.

“Pemanduan bot penyelamat pada waktu malam perlu cekap dengan berpandukan tebing sungai dan cahaya bulan selain perlu memiliki keyakinan yang tinggi ketika berada dalam air bagi memastikan diri sendiri dalam keadaan yang selamat serta dapat menyelamatkan mangsa banjir,” katanya.

Katanya, keseluruhan 600 anggota JBPM Kelantan bersiap-siaga menjalankan tugas ketika musim tengkujuh dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!