X

Kindly register in order to view this article
!

Sistem penggiliran langkah selesai salah laku dalam PBT

Zuraida (tiga dari kiri) menunjukkan buku Jemari Hijau sempena majlis pelancaran Kebun Komuniti di PPR Lembah Subang hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan l Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua, kiri). - Foto Bernama
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang berusaha memperkenalkan sistem penggiliran penempatan antara pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai langkah menyelesaikan serta membendung amalan salah laku seperti rasuah dalam PBT.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, perkara ini masih di peringkat perbincangan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerajaan negeri dan garis panduan bagi sistem itu dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini.

"(Sistem ini) boleh bantu meningkatkan prestasi dan pengalaman mereka (pegawai PBT) malah dapat mendedahkan mereka dengan pengalaman serta ilmu baharu," katanya selepas merasmikan majlis Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Zuraida mengulas isu berkaitan beberapa pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat kegiatan rasuah berhubung premis perniagaan dijalankan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Mengenai kerja-kerja meroboh infrastruktur haram di sekitar Sungai Buloh, Zuraida berkata MBSA akan menempatkan semula peniaga yang terjejas susulan operasi tersebut di 24 lot premis perniagaan yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

"Bagaimanapun saya difahamkan ada 80 peniaga, jadi 24 lot ini adalah berdasarkan angka yang mereka (pihak MBSA) ada pada awalnya. Jadi yang selebihnya, kami akan buat satu tempat sementara untuk mereka berniaga sekiranya mereka berminat.

"Hari ini mereka (pihak MBSA) mengadakan dialog dengan semua peniaga terlibat agar mereka (peniaga) mohon lesen, apabila dapat permit dan lesen (peniaga) boleh berniaga di tempat yang dibina MBSA," katanya.

Zuraida berkata, perobohan gerai haram di Sungai Buloh dilakukan oleh pemilik gerai itu sendiri kerana mungkin mereka bimbang akan dikenakan tindakan saman. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!