Program penyusunan peniaga akan diperluas seluruh Selangor

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memperluaskan Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja di seluruh negeri sebagai usaha bagi membantu peniaga terlibat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu juga berikutan sambutan yang menggalakkan program berkenaan di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Program ini akan diteruskan di seluruh Selangor bagi membantu peniaga dan penjaja," katanya menerusi kemas kini status di laman Facebook rasminya, hari ini.

MBSA mengadakan Program Pemutihan Peniaga dan Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh selama dua hari bermula hari ini.

Menerusi kenyataan sebelum ini, Amirudin menggesa MBSA membantu peniaga kecil tempatan yang memenuhi syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Dalam satu pertemuan bersama Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman sebelum ini, Amirudin juga menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu supaya membanteras perniagaan dijalankan warga asing.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, taklimat dan permohonan permit sementara untuk para penjaja serta peniaga akan dilaksanakan oleh MBSA menerusi program tersebut.

"MBSA akan membantu peniaga dan penjaja di kawasan sekitar untuk mendapatkan lesen yang sah bagi menjalankan perniagaan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebuah kompleks arked niaga bakal dibina di kawasan Sungai Buloh dan akan memberi manfaat kepada seramai 200 peniaga.

Mohd Khairuddin berkata, projek tersebut telah diluluskan beberapa lokasi sudah dicadangkan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang melihat kesesuaian lokasi tersebut.

"Pembinaan kompleks arked niaga ini akan menjadi tumpuan utama bukan saja masyarakat malah pengunjung di kawasan Sungai Buloh dan sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika Program Penyusunan Semula Peniaga/Penjaja Di Kawasan Bandar Baru Sungai Buloh bertempat di Dewan Meranti Jalan 1D Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 hari ini.