X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga, penjaja hargai usaha MBSA

Peniaga dan penjaja sedang berurusan bagi permohonan permit berniaga dalam Program Penyusunan Semula peniaga serta penjaja anjuran MBSA.
A
A

SHAH ALAM - Peniaga dan penjaja di kawasan Bandar Sungai Buloh mahu berniaga secara sah dan tidak perlu berada dalam kebimbangan selepas menguruskan lesen perniagaan mereka dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Beberapa peniaga yang ditemui gembira mereka MBSA mengadakan pertemuan dan memberi peluang kepada peniaga untuk menguruskan lesen menjaja.

Peniaga, M Muniandy, 70, yang bercadang menyambung berniaga cendol selepas berhenti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya tidak mahu berniaga secara haram lagi dengan memohon lesen bagi mengelakkan tindakan undang-undang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Penyusunan Semula Peniaga Serta Penjaja di Kawasan Bandar Baru Sungai Buloh di Dewan Meranti di sini hari ini.

Sementara itu, peniaga sushi di Bandar Baru Sungai Buloh, Zulliza Abdullah, 35, berkata, beliau akan mengambil lesen bagi memudahkan urusan perniagaannya selepas ini.

Zulliza Abdullah
Zulliza Abdullah

Bekas pekerja di sebuah syarikat swasta itu memulakan perniagaannya selepas PKP dilaksanakan.

"Memang saya berniaga tanpa lesen sebelum ini kerana lokasi pejabat MBSA agak jauh di Shah Alam dan ada kekangan untuk memohon lesen. Jadi apabila MBSA melakukan program di sini, saya terus datang untuk memohon lesen berniaga," katanya.

Katanya, program itu memudahkan ramai pihak khususnya peniaga dan penjaja.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, Program Penyusunan Semula peniaga serta penjaja bertujuan memberi taklimat serta penerangan berkaitan perkhidmatan MBSA khususnya permohonan permit penjaja sementara, tambahan pindaan seperti sengkuap (awning) dan partition.

Haris (tengah) sedang mendengar keluhan beberapa peniaga dalam program penyusunan semula peniaga serta penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, hari ini.
Haris (tengah) sedang mendengar keluhan beberapa peniaga dalam program penyusunan semula peniaga serta penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, hari ini.

Menurutnya, MBSA juga akan mendapatkan maklum balas daripada mereka yang terlibat bagi menyusun semula peniaga dan penjaja di Sungai Buloh.

Shahrin memberitahu, MBSA telah membuka kaunter penerangan daripada pelbagai jabatan termasuk Jabatan Pelesenan, Jabatan Bangunan Jabatan Perancangan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Unit Task Force.

"Kakitangan dan pegawai MBSA akan membantu menjawab pertanyaan dan memberikan panduan kepada peniaga dan penjaja," katanya.

Program turut dihadiri oleh Exco Pembangunan Generasi Muda Sukan Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor Mohd Khairuddin Othman, Exco Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor Ng Sze Han serta Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!