Lagi 129 individu ditahan ingkar PKPP

 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 129 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 20 direman manakala 109 individu lagi dikenakan kompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

“Polis telah membuat 66 sekatan jalan raya dan memeriksa 25,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam kenyataan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masuk hari ke-67 hari ini.

Mengenai kuarantin wajib menurutnya, seramai 11,236 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam dan ditempatkan di 60 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 44 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,992 telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 31 negara antaranya, Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, dan Iran,” katanya.

Beliau berkata, polis juga telah memeriksa 914 individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah semalam dan mendapati kesemua mereka patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 726 premis perniagaan termasuk peruncit (538), pemborong (158) dan pengilang (30).

Artikel Berkaitan:

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,163 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan kesemua premis turut mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Berhubung Ops Sanitasi Awam pula beliau berkata, sebanyak 12 operasi meliputi sembilan zon di empat negeri iaitu Sabah, Sarawak, Pahang dan Melaka dilakukan semalam.

Dalam pada itu katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 74 tapak binaan di seluruh negara semalam melibatkan 52 anggota penguatkuasa.

“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati 73 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan manakala satu tapak binaan tidak patuh pada SOP dan diberi amaran,” katanya. - Bernama