Tarif air: Kedah perlu jaminan kerajaan persekutuan sebelum ubah

Mukhriz menandatangani buku pelawat selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Dun Sungai Limau, dekat sini. Turut kelihatan Zahran (kiri) dan Ku Abd Rahman (kanan).
Mukhriz menandatangani buku pelawat selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Dun Sungai Limau, dekat sini. Turut kelihatan Zahran (kiri) dan Ku Abd Rahman (kanan).
A
A
A

YAN - Kedah memutuskan sebarang perubahan atau pengekalan tarif air di negeri ini hanya akan bermula pada Januari tahun 2020.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pada mesyuarat exco baru-baru ini, Exco Air Kedah, Zamri Yusof telah membentangkan apa yang telah dikemukakan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan perkara itu sedang diperhalusi pihaknya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil kira beberapa faktor membabitkan kemampuan pengguna di negeri ini agar mampu membayar kadar air malah mengakui perkhidmatan air sedia ada perlu dibaiki.

"Apa saja cadangan kerajaan pusat kita sangat perlukan jaminan sebelum kerajaan negeri boleh cadang apa-apa perubahan pada kadar tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Dun Sungai Limau di Simpang Tiga Sungai Limau Luar, Batu 14 Jalan Alor Setar- Guar Chempedak, dekat sini.

Hadir sama Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail dan Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Sungai Limau, Zahran Abdullah.

Mukhriz berkata, Kedah perlu juga membangkitkan beberapa perkara berhubung penyeragaman kadar tarif air seluruh negara walaupun cadangan berkenaan datang dari Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

"Di Kedah ada situasi berbeza, jika dibandingkan dengan negeri lain. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya buat perubahan tanpa timbal balas yang menguntungkan pihak kita.

"Kami juga harap tempoh yang lama diperlukan bagi memperhalusi perkara tersebut kerana selain akaun domestik, ia juga melibatkan akaun industri.

Artikel Berkaitan:

"Pelabur industri merungut kerana mereka perlukan masa kalau hendak buat perubahan pada kadar tarif air kerana bajet mereka telah diputuskan pada bulan Oktober dan November tahun lalu" katanya lagi.

Menurutnya, sebarang perubahan kadar tarif air memerlukan tempoh munasabah dan masa perlu diberikan agar semua pihak bersedia.

Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar berkata, kadar tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat-peringkat pada tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.