X

Kindly register in order to view this article
!

Tak sangka belasah Barca

Mueller (tengah) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas menyumbat gol pembukaan Bayern ketika menentang Barcelona di Lisbon awal pagi semalam.
A
A

PEMAIN tengah Bayern Munich, Leon Goretzka mengakui tidak menyangka pasukannya berjaya memalukan Barcelona dengan kemenangan besar 8-2 pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon awal pagi semalam.

Goretzka turut gembira selepas dia dan rakan-rakan sepasukannya mampu menyekat pergerakan pemenang enam kali anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi yang dihilang seperti hilang arah sepanjang perlawanan.

"Walaupun Messi dan beberapa pemain Barcelona adalah idola saya, namun ia bukanlah sesuatu yang menyedihkan untuk menewaskan mereka. Malah, ia detik yang sangat menggembirakan.

"Keputusan ini bagaikan sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Kami sangat berkeyakinan dan memulakan dominasi awal pada perlawanan itu yang menjadi kunci kemenanangan kami," katanya.

Dalam pada itu, Thomas Muller yang menjaringkan gol pembukaan Bayern seawal minit keempat seakan-akan sukar mempercayai kejayaan mereka membenam The Catalan.

"Sangat sukar untuk dijelaskan kemenangan ini. Saya rasa ketika ini pasukan berada dalam prestasi terbaik. Kami berusaha keras dan memiliki intensiti tinggi. Ia satu perlawanan yang amat menyeronokkan.

"Kami bermain tanpa melihat siapa lawan kami, tak kisah mereka itu pemain ternama dunia atau tidak. Apabila mereka mengawal bola, kami bersedia untuk menghadapi mereka," ujarnya.

Bagaimanapun, Muller menegaskan, dia dan rakan-rakannya tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan besar tersebut kerana menyedari cabaran lebih besar bakal dihadapi mereka di peringkat separuh akhir nanti.

"Pada perlawanan akan datang, kami akan bermula 0-0 kembali. Kemenangan ke atas Barcelona ini sudah tidak penting tetapi aksi kami seterusnya akan jadi penentu untuk layak ke final," jelasnya.

Selain menyumbang dua gol pada aksi tersebut, Mueller, 30, juga boleh berbangga apabila dia kini mengatasi rekod Philipp Lahm sebagai pemain Jerman yang membuat penampilan terbanyak dalam saingan Liga Juara-Juara dengan 113 perlawanan.

"Kami perlu berhenti bercakap mengenai rekod, ia hanya statistik. Perkara paling penting kami melakukan apa yang kami mahu di atas padang, semua orang berjuang untuk memperoleh keputusan terbaik ini," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!