Tiada sebab khianat parti sendiri, kata Muhyiddin

Perutusan Muhyiddin dimuat naik melalui sebuah video di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Perutusan Muhyiddin dimuat naik melalui sebuah video di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional.

Perdana Menteri itu dalam satu rakaman video berkata, ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu kerana penyatuan dengan UMNO dan Pas itu akan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

“Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM (Bersatu) bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’ dan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat sudah berada di pihak kita,” katanya dalam klip video itu.

Muhyiddin berkata, beliau tidak mengkhianati perjuangan Bersatu dan tiada sebab untuknya mengkhianati parti yang ditubuhkannya bersama beberapa pengasas lain, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dahulu Tun Dr Mahathir bersama-sama dengan kita. Saya tidak boleh nafikan sejarah sumbangan Tun Dr Mahathir kepada parti kita. Saya hormat beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepada Tun Dr Mahathir.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tidak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Muhyiddin, apa yang lebih penting ialah perjuangan Bersatu mesti diteruskan kerana pemimpin parti datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti perlu dipertahankan.

“Kita mesti jalan terus. Jangan kita berpaling ke belakang. Teruslah mara ke hadapan. Apa yang ada di hadapan kita mesti hadapi dengan tabah," katanya.