Operasi bukan hanya fokus roboh gerai, kata MBSA

Laporan Sinar Harian mengenai peniaga kecil di Bandar Baru Sungai Buloh yang mendakwa MBSA tidak berlaku adil apabila mengarahkan premis perniagaannya dikosongkan dalam masa singkat.
Laporan Sinar Harian mengenai peniaga kecil di Bandar Baru Sungai Buloh yang mendakwa MBSA tidak berlaku adil apabila mengarahkan premis perniagaannya dikosongkan dalam masa singkat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaskan operasi besar-besaran dilaksanakan pihaknya bersama beberapa agensi di Bandar Baru Sungai Buloh Rabu lalu bukan hanya memfokuskan untuk merobohkan gerai yang dibina tanpa kebenaran.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, sebaliknya operasi tersebut adalah untuk merobohkan struktur tambahan yang dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, ketika operasi dijalankan, sebanyak satu unit gerai, tiga unit kabin, lima unit sengkuap (awning) depan dan 16 unit sengkuap lorong belakang premis dirobohkan.

“Ingin dijelaskan di sini bahawa fokus MBSA dalam operasi ini bukanlah merobohkan gerai-gerai yang dibina tanpa kebenaran sebaliknya operasi ini adalah untuk merobohkan struktur tambahan binaan yang dibina tanpa kebenaran MBSA.

“Ketika operasi bersepadu dijalankan, MBSA juga mendapati sebanyak 16 gerai di kawasan itu dibuka sendiri oleh pemiliknya selepas mendapat notis arahan,” katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangani isu berbangkit di Bandar Baru Sungai Buloh.

Dalam operasi itu katanya, pihak MBSA juga mengambil tindakan merobohkan struktur binaan dan tambahan pindaan di dalam premis yang disyaki premis perjudian haram serta menyita barangan dalam premis tersebut.

Menurutnya, sebanyak tujuh premis perjudian disita di lokasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“MBSA menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memberi kuasa kepada PBT untuk menghilangkan atau menghapuskan halangan di tempat awam.

“PBT boleh menghapuskan halangan di tempat awam tanpa memberi notis,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'MBSA langsung tak kompromi, terus rampas...'

Dalam pada itu, beliau berkata, MBSA sentiasa memberi peluang kepada orang ramai khususnya peniaga kecil untuk menyara kehidupan melalui penyediaan ruang perniagaan seperti kiosk, gerai, pasar malam dan sebagainya.

Mengikut rekod terdapat sejumlah 1,173 jumlah penyewa gerai, pasar, kiosk dan medan selera.

“Untuk makluman, sebanyak 318 permit penjaja sementara dikeluarkan oleh pihak MBSA untuk menampung permintaan peniaga kecil termasuk pengusaha kenderaan saji (food truck) di kawasan MBSA.

“Demi menjaga kepentingan dan kelangsungan peniaga kecil ini, MBSA juga mengecualikan kutipan fi lesen untuk tempoh dua bulan (April hingga Mei 2020) dengan syarat tiada tunggakan sewa sehingga Februari 2020,” katanya.

Shahrin berkata, menerusi fakta dan maklumat diberikan menunjukkan pihak MBSA tidak pernah meminggirkan peniaga kecil sebaliknya sentiasa membantu untuk meningkatkan sara hidup mereka.

Terdahulu, seorang peniaga kecil di Bandar Baru Sungai Buloh di sini mendakwa MBSA tidak berlaku adil apabila mengarahkan premis perniagaannya dikosongkan dalam masa singkat ketika operasi bersepadu pada Rabu lalu.

Nurul Aini Ab Rashid, 57, berkata, peniaga di lokasi itu mendakwa, MBSA memberi notis yang terlalu singkat kepada mereka dan langsung tidak bertolak ansur.

Katanya, peniaga meminta penguat kuasa MBSA memberi tempoh dua jam untuk mengosongkan premis perniagaannya namun tidak diendahkan.