Sistem pelupusan moden atasi lambakan sampah

Izham (dua dari kanan) melihat tong sampah yang disumbangkan oleh KDEBWM untuk diagihkan kepada pengguna di DUN Pandan Indah.
Izham (dua dari kanan) melihat tong sampah yang disumbangkan oleh KDEBWM untuk diagihkan kepada pengguna di DUN Pandan Indah.
A
A
A

AMPANG - Pengurusan sampah secara efisien dengan menggunakan sistem pelupusan moden 'Waste To Energy' (WTE) dapat mengatasi masalah lambakan sampah dan tapak pelupusan sampah yang terhad di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim berkata, Selangor mencatatkan jumlah kutipan sampah sebanyak 7,200 tan sehari daripada anggaran 6.3 juta penduduk di bawah 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, Selangor bukan hanya berdepan dengan masalah pembuangan sampah haram, namun isu tapak pelupusan sampah yang terhad.

“Oleh yang demikian, tapak pelupusan sampah perlu beralih kepada sistem WTE yang kurang menggunakan tanah memandangkan tanah di Selangor mahal dan perlu digunakan sebaiknya.

“Sistem WTE mampu mengatasi masalah ruang iaitu kurang lima peratus sampah akan ditanam sementara yang lainnya akan digunakan untuk tenaga,” katanya selepas Majlis Penyerahan Tong Sampah di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir.

Mengulas lanjut katanya, sistem pelupusan sampah moden berkenaan akan dibina di Jeram dan Serendah.

Selain itu katanya, kempen mengurangkan sampah perlu diteruskan supaya kos pengurusan sampah dapat dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis berkenaan, KDEBWM menyumbangkan sebanyak 200 tong sampah jenis Mobile Garbage Bin (MGB) berkapasiti 240 liter untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan DUN Pandan Indah.

Izham (tiga dari kiri) pada majlis penyerahan tong sampah yang disumbangkan oleh KDEBWM semalam.
Izham (tiga dari kiri) pada majlis penyerahan tong sampah yang disumbangkan oleh KDEBWM semalam.

Sementara itu, Ramli berkata, sumbangan tong sampah tersebut adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) KDEBWM selaku anak syarikat kerajaan negeri yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor.

“Kami amat mengambil berat permasalahan dihadapi penduduk Selangor terutamanya melibatkan proses pembuangan dan kutipan sampah.

“KDEBWM sememangnya menyediakan peruntukan CSR setiap tahun untuk diagihkan secara adil seluruh Selangor termasuk agihan tong sampah serta diadakan hari gotong-royong menggunakan aset yang kita ada tanpa dikenakan sebarang caj,” kata beliau.

caption:

Izham (dua dari kanan) melihat tong sampah yang disumbangkan oleh KDEBWM untuk diagihkan kepada pengguna di DUN Pandan Indah.

Izham (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Tong Sampah yang disumbangkan oleh KDEBWM semalam.