Kantoi buat laporan polis palsu MyKad hilang

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Dua wanita sanggup membuat laporan polis palsu kononnya mereka diragut bagi mengelak didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dua laporan daripada wanita berusia 25 dan 27 tahun itu diterima pada 5 Ogos dan 11 Ogos lalu.

"Wanita pertama membuat laporan mendakwa menjadi mangsa ragut dua lelaki ketika berada di kawasan IKEA Damansara.

"Siasatan kemudian mendapati wanita berkenaan mengaku kehilangan kad pengenalannya di tasik berdekatan Mutiara Damansara sejak tiga minggu yang lalu. Mangsa membuat laporan palsu kerana enggan membayar denda," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nik Ezanee berkata, laporan wanita kedua turut mendakwa menjadi mangsa ragut oleh dua lelaki dan siasatan lanjut juga bermotif sama.

"Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu," katanya.

Tegasnya, pihaknya memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu untuk kepentingan diri.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk membuat tangkapan jika didapati bersalah," katanya.

Artikel Berkaitan: