Muhyiddin menghadap Sultan Johor

Muhyiddin menghadap Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto ihsan Royal Press Office
Muhyiddin menghadap Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto ihsan Royal Press Office
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini.

Muhyiddin dan Noorainee yang tiba di Istana Bukit Serene pada jam 9.30 pagi disambut baginda bersama-sama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Mengiringi bersama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Mereka diraikan dalam satu majlis santapan bersama Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor.

Kunjungan itu merupakan kunjungan rasmi kedua Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ke atas Sultan Johor selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lepas.

Pada pertemuan pertama 19 Mac lalu, Muhyiddin mempersembahkan perkembangan terkini koronavirus (Covid-19) kepada Sultan Ibrahim.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dilihat meninggalkan istana pada jam 10.40 pagi.

Artikel Berkaitan:

Selepas menghadap Sultan Ibrahim, Muhyiddin bersama barisan pemimpin lain dijadualkan menghadiri Sesi Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di Hotel Thistle di sini.