29 pimpinan tertinggi Bersatu Puchong keluar parti

Seramai 29 daripada 39 kepimpinan tertinggi Bersatu Bahagian Puchong umum keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Seramai 29 daripada 39 kepimpinan tertinggi Bersatu Bahagian Puchong umum keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Seramai 13 Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Puchong diketuai Timbalan Ketua Bahagiannya, Samad Kassim meletakkan jawatan dan mengumumkan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta semalam.

Samad berkata, AJK itu termasuk Pengerusi Tetap Bahagian, Baharuddin Abdul Kudus; Timbalan Pengerusi Tetap, Mohd Shah Fizal Hasan dan 10 AJK Bahagian.

Turut meletakkan jawatan Pengerusi Tetap Serikandi Bahagian, Noraini Abu; Naib Ketua Serikandi Bahagian, Mazurah Khairuddin; Ketua Armada, Mohd Danial Mohd Don Alfian; Naib Ketua Armada, Muhammad Syafiq Mustafa Kamal, tujuh AJK Serikandi dan lima AJK Armada.

Menurutnya, kira-kira 350 daripada 400 ahli Bersatu Puchong yang aktif juga akan mengikut langkah keluar parti.

“Jumlah ahli di Bahagian Puchong adalah seramai 2,300 orang tetapi yang hadir pada persidangan tempoh hari hanya 400 orang kerana yang lain mungkin sudah tidak berminat, daripada jumlah kira-kira 350 ahli akan keluar parti.

“Ini bermakna tujuh daripada 10 cawangan isytihar keluar parti iaitu Cawangan Batu 14 Puchong, Pinggiran Putra, Puchong Utama, Puchong Permai, Seri Kembangan, Taman Universiti Indah dan Sungai Besi Indah. Saya jangka dua cawangan lagi akan keluar parti dalam masa terdekat.

“Kita di Bahagian Puchong lain daripada lain, kita nak benda yang betul...tak kira parti mana kalau mentadbir negara dengan betul kita akan sokong, janji jangan ada kleptokrasi, jangan merompak, menyamun... cukuplah rakyat dah susah,” katanya.

Sementara itu, Baharuddin berkata, surat peletakan jawatan akan dihantar kepada Setiausaha Agung Bersatu serta pihak berkenaan termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk urusan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keputusan pimpinan tertinggi bahagian itu dibuat secara rela hati tanpa ada desakan daripada mana-mana pihak kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Parti ini sudah tidak berpaksi kepada perjuangan asal iaitu berani dalam bersuara, membanteras kleptorasi, gejala rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Danial berkata, pegangan pihaknya tidak pernah lari dan goyah daripada mendukung dan menyokong aspirasi bekas Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, pihaknya mengambil keputusan keluar parti kerana tidak mahu menjadi orang yang mementingkan jawatan dan pangkat.

“Di peringkat Armada daripada 12 perjawatan dipertandingkan, tujuh AJK keluar daripada parti dan di peringkat Serikandi Bahagian daripada 12 perjawatan, sembilan umum keluar meninggalkan parti. Ini bermaksud daripada 39 kerusi atau perjawatan dipertandingkan di peringkat Bahagian Puchong, 29 ahli keluar daripada parti,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan beberapa pimpinan tertinggi dan ratusan ahli dari Bersatu Bahagian Klang, Shah Alam, Kota Raja, Bangi, Tanjong Karang dan Ampang mengisytiharkan keluar parti sebelum ini.

Bagaimanapun, Bersatu Selangor menafikan dakwaan mengenai pembubaran beberapa bahagiannya di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, dakwaan mengenai beberapa bahagian yang lumpuh disifatkan tidak berasas sama sekali.

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan ada bahagian yang lumpuh atau terbubar.