Abdul Azeez rayu semua pihak henti sentuh isu TH

Abdul Azeez minta semua pihak berhenti menyentuh isu TH dan menyerahkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Abdul Azeez minta semua pihak berhenti menyentuh isu TH dan menyerahkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim merayu semua pihak berhenti menyentuh isu Lembaga Tabung Haji (TH) berikutan desakan telah dibuat kepada kerajaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Abdul Azeez berkata, TH perlu terus bergerak ke depan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan keutamaan diberikan bagi urusan membawa tetamu ALLAH SWT mengerjakan ibadah haji dan umrah.

"Jangan kacau lagi TH sebab kita dah minta kerajaan buat RCI dan kita serahkan kepada budi bicara kerajaan yang ada pada hari ini.

"Tengok ALLAH uji kita bila kita kacau TH apabila pada tahun 2020 kali ini, kita tak boleh pergi untuk laksanakan ibadah haji. Ini tak pernah berlaku dalam sejarah sejak 1963. Makkah pun kita dah tak benar (untuk) pergi. Kita kena fikir apa sebabnya ALLAH jadikan begini. Ia sebab terlalu banyak fitnah kepada TH," katanya pada sidang media selepas Program Berani Semuka anjuran Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.

Program itu menemukan beliau dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di pentas sama bagi menjawab segala polemik berkaitan TH.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Baling itu berkata, sekiranya berlaku kes penyelewengan atau dana TH dicuri, ia perlu terus dilaporkan agar siasatan dapat dilakukan seterusnya pelaku ditangkap dan dituduh di mahkamah sebelum dijatuhkan hukuman.

Sementara itu, Mujahid meminta agar isu TH tidak dilihat sebagai isu yang berkait dengan kerajaan tertentu sahaja.

"Isu TH jangan lihat dulu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan sekarang Perikatan Nasional (PN). Siapa pun jadi kerajaan, mereka kena jaga (TH)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apa yang penting beliau dan Abdul Azeez diberikan peluang berhujah sepentas yang menjadi hujah sihat untuk rakyat merumuskan apa yang dilontarkan mereka sepanjang program selama satu jam setengah itu berlangsung.