Jatuh bangun politik dinasti

PKR menyaksikan Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah menjadi tonggak utama parti.
PKR menyaksikan Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah menjadi tonggak utama parti.
A
A
A

SEJAK sekian lama di seluruh dunia, ikatan genealogi atau kekeluargaan telah digunakan sebagai dasar kesinambungan politik untuk mengekalkan kekuasaan.

Sehingga hari ini, praktis tersebut masih menjadi kebiasaan. Ada yang memanggilnya dinasti politik, ada juga yang menggelarkannya warisan.

Namun, hari ini dalam amalan sistem demokrasi, praktis tersebut bukanlah diwariskan sesuka hati seperti suatu masa dulu.

Hari ini seseorang pemimpin masih memerlukan sokongan parti dan undi rakyat untuk turut berada dalam gelanggang politik.

Namun, membawa nama keluarga apatah lagi pemimpin besar mungkin membuka jalan yang lebih luas untuk ahli keluarga lain berjaya sebagai pemimpin politik.

Hakikatnya, politik dinasti berlaku di pelbagai negara daripada Amerika Syarikat (AS), Kanada, Indonesia, Sri Lanka, Filipina dan tidak terkecuali di Malaysia.

Siapa dapat melupakan gandingan anak-beranak yang memimpin AS. George Herbert Walker Bush merupakan Presiden AS ke-41 dari tahun 1989 hingga 1993, manakala anaknya George Walker Bush pula ialah Presiden AS ke-43 dari tahun 2001 hingga 2009.

Di Singapura, Perdana Menteri republik itu, Lee Hsein Loong merupakan anak kepada pengasas dan juga Perdana Menteri pertama negara itu, Lee Kuan Yew.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, sejarah telah menyaksikan bagaimana suburnya politik dinasti di negara ini. Anak, cucu dan ahli keluarga orang politik turut terjun dan sukses sebagai pemimpin di gelanggang politik.

Sekadar menyebut beberapa contoh, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri kelima, merupakan anak Tun Abdul Razak Hussein bekas Perdana Menteri kedua Malaysia.

Najib menjadi pemimpin pertama di Malaysia mengikut jejak ayah bergelar Perdana Menteri.
Najib menjadi pemimpin pertama di Malaysia mengikut jejak ayah bergelar Perdana Menteri.

Selain UMNO, parti-parti lain turut mempunyai wakil keluarga. Dalam DAP, Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng ialah anak kepada Lim Kit Siang. Mendiang Karpal Singh yang juga bekas pemimpin utama DAP mempunyai tiga orang anak yang aktif dalam politik iaitu Jagdeep Singh, Gobind Singh dan Ramkarpal Singh.

Tidak terkecuali PKR apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Presiden parti turut disertai isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Terbaru, landskap politik Malaysia tambah menarik apabila negawaran Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada usia 95 tahun menubuhkan parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Anak beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dinamakan sebagai Presiden Pejuang.

Pejuang parti terbaru di Malaysia yang menyaksikan Dr Mahathir dinamakan sebagai Pengerusi manakala anaknya, Mukhriz sebagai Presiden parti itu.
Pejuang parti terbaru di Malaysia yang menyaksikan Dr Mahathir dinamakan sebagai Pengerusi manakala anaknya, Mukhriz sebagai Presiden parti itu.

Politik darah daging

Bagi ahli politik veteran dan juga tokoh budayawan, Tan Sri Rais Yatim, politik dinasti di seluruh dunia bukanlah sesuatu yang asing.

Walaupun politik dinasti sering dikaitkan dengan unsur-unsur nepotisme, namun kata Rais yang juga seorang peguam, baik atau buruknya amalan politik warisan itu bergantung kepada sahsiah individu.

“Politik dinasti banyak bersandarkan kepada aliran darah kekeluargaan. Ada yang baik, ada yang negatif, bergantung kepada sahsiah seseorang,” kata beliau kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Rais, kemungkinan berlakunya nepotisme kuasa adalah satu lumrah dalam politik, namun adalah lebih baik sekiranya dapat dielakkan.

Rais
Rais

“Namun, jika ia tak dirancang tidaklah menjadi hadangan. Dalam hal Tun Mahathir, beliau merancang untuk anaknya di peringkat penajaan.

“Pengumuman perjuangan parti Tun Mahathir hanya antipolitik wang. Isu ini boleh ditangani dengan azam perjuangan baharu baik dalam Bersatu, UMNO atau Pas atau di bawah Perikatan Nasional.

“Tampak langkah Tun Mahathir mewujudkan tapak dinasti Mahathir yang sejujurnya tak perlu dinasti baharu lagi. Beliau saja sudah cukup terbilang untuk diingati bergenerasi akan datang,” katanya lagi.

Mengakui politik dinasti turut berlaku di negara luar, beliau menegaskan politik dinasti perlukan pengawasan yang ketat supaya bibit-bibit negatif dalam parti dan kerajaan dapat dihindari.

Dalam pada itu, Penolong Profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berpandangan, dalam politik kebanyakan negara memang terdapat keluarga yang berpengaruh memungkinkan pembentukan politik dinasti.

“Namun, terdapat beza antara sistem demokrasi dan autoritarian. Dalam demokrasi, turun naiknya pemimpin bukan pilihan keluarga semata-mata. Ia turut bergantung kepada penerimaan masyarakat dalam negara.

“Bagi sistem autoritarian, jika sesebuah keluarga memilih untuk menguasai kepimpinan politik, tiada apa yang masyarakat dapat lakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Guan Eng turut mengikut jejak ayahnya, Kit Siang terjun dalam bidang politik dan bergelar Setiausaha Agung DAP.
Guan Eng turut mengikut jejak ayahnya, Kit Siang terjun dalam bidang politik dan bergelar Setiausaha Agung DAP.

Ditanya perbezaan antara politik dinasti di Malaysia dan di negara luar, beliau berkata di Malaysia setakat ini, politik dinasti terdapat dalam beberapa parti.

“Dalam sejarah negara, cuma Najib yang berpeluang menjadi perdana menteri tapi tidaklah dibantu secara langsung oleh bapanya sementara dalam beberapa parti, terdapat anak atau saudara pemimpin yang mendapat tempat dalam kepimpinan kerana bapa atau saudara tertentu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Historical Social Research pada Disember 2018 mendedahkan, secara purata, satu daripada 10 pemimpin dunia datang daripada isi rumah yang mempunyai hubungan politik.

Keluarga politik di sini ditakrifkan sebagai sama ada mempunyai pertalian darah atau perkahwinan kepada seseorang yang telah pun terlibat dalam politik.

Bagaimanapun memetik kata-kata Pengasas Sekolah Kebangsaan Program Kader Bangsa di Jakarta, Dimas Oky Nugroho: “Dinasti politik tidak selalunya bermakna negatif. Orang muda yang terlibat dalam politik mengikuti karier keluarga atau ibu bapa adalah sesuatu yang secara pilihan masuk akal dan berlaku secara semula jadi.”