PERDA buka peluang kepada golongan bukan Bumiputera

Hanif menyampaikan penghargaan kepada salah seorang kakitangan PERDA dalam program semalam.
Hanif menyampaikan penghargaan kepada salah seorang kakitangan PERDA dalam program semalam.
A
A
A

BUTTERWORTH- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) berhasrat untuk membuka semua program yang bersesuaian di bawahnya kepada golongan bukan Bumiputera.

Pengerusinya Mohamed Haniff Khatri Abdullah bagaimanapun menegaskan PERDA akan tetap memastikan kepentingan 90 peratus Bumiputera tetap akan dipelihara dan diberi keutamaan.

Beliau berkata pihaknya kini dalam usaha untuk mengembalikan semula peranan agensi itu iaitu membantu masyarakat luar bandar.

"Akta PERDA menyatakan masyarakat luar bandar, bukan masyarakat tertentu luar bandar. Apa maksudnya ialah PERDA bertanggungjawab kepada seluruh rakyat dan PERDA akan tegaskan perkara ini. Kita kena tunjukkan kepada rakyat dan agensi lain bahawa perkara ini boleh dilakukan.

"Jadi, mulai sekarang, Insya-ALLAH pengurusan akan mengenal pasti apakah program-program yang boleh dilibatkan semua peringkat masyarakat pada masa ini, dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, sekurang-kurangnya minimum 10 peratus (penyertaan bukan Bumiputera)," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan PERDA 2019, di sini hari ini.

Mohamed Haniff berkata pihaknya juga bercadang untuk membuka perjawatan kepada bukan bumiputera yang berkelayakan dan mempunyai merit bersesuaian memandangkan hanya bumiputera yang mengisi perjawatan di PERDA ketika ini.

Ditanya sama ada semua program itu turut meliputi projek-projek perumahan, beliau berkata: "Kita akan mulakan secara perlahan-lahan tetapi pasti akan dilaksanakan bagi semua bidang...setakat mana yang praktikal."

Sementara itu, Mohamed Haniff berkata pihaknya telah mengenal pasti dua bidang tanah di bahagian pulau dan tanah besar untuk melaksanakan dua program baharu membabitkan golongan nelayan dan pengusaha pelancongan agro.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu memandangkan terdapat beberapa isu berbangkit yang belum diselesaikan dan pihaknya berharap dapat membuat pengumuman mengenainya selewat-lewatnya pertengahan Februari ini.

Artikel Berkaitan:

"(Ia) masih di peringkat awal. Kami terpaksa berurusan dengan pelbagai pihak berkuasa (terlebih dahulu) untuk menyelesaikan (isu ini) secara teratur. Apabila selesai nanti kami akan umumkan (program ini). Insya-Allah, ia akan dimulakan dalam masa tiga bulan lagi," katanya.- Bernama