X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan sampai jatuh Liga M3

Stuart menyampaikan taklimat berhubung pelesenan kelab dan proses pemisahan daripada FA kepada FC di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Foto FAM
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan beberapa pasukan tidak dapat beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan sekiranya gagal menyelesaikan proses pelesenan kelab menjelang tarikh akhir pada 31 Ogos ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pelesenan kelab menjadi keutamaan yang ditekankan badan induk bola sepak negara itu ketika ini bagi membolehkan setiap pasukan beraksi dalam saingan Liga-M musim depan.

“Ada dua perkara yang kita tekankan kepada setiap pasukan ketika ini. Pertama mengenai pelesenan dan kedua penswastaan pasukan. Tetapi yang menjadi keutamaan adalah pelesenan kelab.

“Apabila pelesenan kelab sudah selesai, maka mereka boleh memfokuskan pula kepada penswastaan yang tarikh akhirnya adalah pada hujung September.

“Jika penswastaan sudah berjaya, tetapi tidak dapat lesen kelab tidak boleh juga sebab lesen kelab ini yang akan menentukan pasukan itu boleh bermain dalam saingan liga musim depan atau tidak.

“Apa yang boleh saya kata, kebarangkalian sangat tinggi kemungkinan tahun depan Liga Super dan Liga Premier akan kekurangan pasukan bertanding melihatkan situasi semasa melibatkan beberapa pasukan yang masih belum melengkapkan pelesenan kelab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat berhubung pelesenan kelab dan proses pemisahan daripada Persatuan Bola Sepak (FA) kepada Kelab Bola Sepak (FC) di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Namun, beliau menegaskan, sesebuah kelab atau pasukan tidak akan memperoleh lesen kebangsaan daripada First Instance Body Pelesenan Kelab FAM sekiranya gagal menjelaskan baki hutang yang masih tertunggak pada musim ini.

“Tahun ini akan menjadi tahun balancing daripada kelulusan lesen dan pergerakan daripada FA kepada FC. Jadi pada penghujung September, kita akan tengok kemungkinan besar beberapa pasukan akan turun ke Liga M3 yang mana liga tersebut belum lagi menjadi liga berlesen,” jelasnya.

Berdasarkan rekod FAM, status semasa proses pelesenan kelab untuk pasukan Liga Super menyaksikan dua pasukan sudah mencapai tahap 91 hingga 100 peratus, lima pasukan (81-90 peratus), dua pasukan (71-80 peratus) dan tiga pasukan (61-70 peratus).

Bagi Liga Premier, satu pasukan mencapai tahap 81 hingga 90 peratus, tiga pasukan (71-80 peratus), satu pasukan (61-70 peratus) dan tiga pasukan (0-60 peratus).

Status semasa proses penswastaan kelab pula menyaksikan lima pasukan sudah selesai, lapan pasukan separa selesai, lima pasukan baru bermula dan tiga pasukan lagi belum memulakan sebarang langkah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!