Nahas Simpang Pulai: Pengendali treler terima surat tunjuk sebab

WE KA SIONG
WE KA SIONG
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) semalam telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pengendali lori treler yang terlibat dalam kemalangan jalan raya maut di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh pada 11 Ogos.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengendali itu perlu menjawab surat tunjuk sebab tersebut dalam tempoh tiga hari.

"Setelah menerima jawapan daripada pengendali tersebut, APAD akan mengumpul syor melalui Jawatankuasa Pelesenan mengenai tindakan yang wajar diambil terhadap pengendali itu. Syor itu akan dikeluarkan pada 17 Ogos 2020," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu disusuli sesi Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh cawangannya di Perak pada 12 Ogos.

Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan memandang serius kemalangan lalu lintas dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan seperti peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333).

Beliau berkata, keselamatan pengguna jalan raya dan pengendali pengangkutan awam darat adalah keutamaan kementerian itu.

"Berdasarkan syarat-syarat lesen, semua pengendali pengangkutan awam darat dikehendaki mematuhi standard keselamatan paling tinggi yang membabitkan kenderaan mereka," katanya.

Ka Siong berkata, kementerian itu tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran standard serta amalan keselamatan dan pengendali yang gagal berbuat demikian bakal berdepan tindakan perundangan sedia ada sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen pengendali serta permit kenderaan dan mengambil tindakan pentadbiran dan mahkamah terhadap pengendali yang melanggar peraturan keselamatan seperti terdapat dalam lesen pengusaha," katanya.

Tujuh maut termasuk dua kanak-kanak manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza yang mereka naiki bertembung treler di kilometer kelima Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Simpang Pulai. - Bernama