Jangan hukum pembawa berita

No Image Caption
A
A
A

AWANG tak kenal sangat siapa penjual burger yang bernama Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut.

Apabila Awang baca Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pertahankan beliau, Awang teruja juga.

Tuk Seri Zahid dalam hantaran Facebooknya menyatakan rasa kasihan pada Asri Janggut yang khabarnya dicari polis.

Awang juga terbaca PDRM buka dua fail siasatan kerana hantaran Asri Janggut dalam Facebook dikatakan berunsur fitnah dan menjejaskan nama baik polis.

Awang setuju sangat dengan Tuk Zahid bahawa Asri Janggut dan rakyat lainnya ada peranan dalam memantau pelbagai kegiatan yang tak diingini.

Ini termasuklah judi haram dan kegiatan menjual rokok haram yang berleluasa.

Memang patut orang seperti beliau menyampaikan maklumat agar kegiatan itu dapat dibendung.

Orang seperti Asri Janggut patut jadi mata dan telinga rakyat. Selama ini khabarnya kegiatan itu dah berjalan lama tetapi tiada tindakan diambil.

Artikel Berkaitan:

Beliau dah buat laporan pada pihak tertentu tetapi tidak berkesan. Apabila video itu tular, barulah ada tindakan tegas ke atas kegiatan judi haram di Bandar Baharu Sungai Buloh.

Awang mohon pada Tan Sri Ketua Polis Negara supaya menimbangkan hal ini dengan adil. Kalau betul Asri Janggut buat fitnah ambillah tindakan pada beliau.

Tapi kalau apa yang ditularkannya itu ada kebenaran dan memang ada kambing hitam yang terbabit, ambillah tindakan pada yang bersalah.

Jangan nanti kita dituduh melindungi orang yang bersalah dan menghukum orang yang berniat baik.