X

Kindly register in order to view this article
!

Along Besi tumpas

Mazlan (empat dari kiri) menunjukkan besi penutup longkang yang dicuri dan dijual suspek di kedai barangan lusuh
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang menggelarkan diri sebagai Along Besi ditahan polis selepas terlibat dengan kes mencuri besi penutup longkang di sekitar Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek ditahan secara berasingan pada 17 dan 19 Januari lalu di rumah masing-masing.

Menurutnya, suspek pertama berusia 37 tahun ditahan sekitar jam 10.30 malam di Taman Prima Kajang sementara suspek kedua berusia 37 tahun ditahan di Taman Mewah Kuala Lumpur.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua kereta yang digunakan suspek dalam kegiatan mencuri besi berkenaan.

"Siasatan polis mendapati, kedua-dua suspek baru sahaja keluar dari pusat pemulihan dadah yang sama pada Disember lalu dan melakukan jenayah curi ini bagi mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah baharu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, tangkapan itu susulan sembilan laporan berkaitan kecurian besi penutup longkang di kawasa perumahan penduduk di Presint 8, Presint 11 dan Taman Putra Presint 1 pada 6 hingga 17 Januari lalu.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi kejadian berjaya mengesan kelibat dua buah kenderaan yang dipandu oleh suspek dan ia tular di media sosial.

"Bertindak atas maklumat awam dan risikan polis suspek berjaya ditahan dan hasil siasatan mereka mengaku telah menjual besi tersebut di kedai barangan lusuh di Sungai Chua Kajang," katanya.

Mazlan berkata, susulan maklumat itu, polis menyerbu dua kedai barangan lusuh yang mana salah satunya beroperasi secara haram.

"Polis menahan pemilik kedai dan enam pekerjanya termasuk empat warga asing kesemua berusia antara 18 hingga 47 tahun untuk siasatan lanjut.

"Salah seorang pemilik kedai mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk pernah menjalani tahanan Akta Pencegahan jenayah 1959 (Poca)," katanya.

Menurut Mazlan, siasatan polis mendapati sebanyak 332 besi punutup longkang iaitu 101 keping telah dicuri di Presint 8 dan Presint 11 manakala sebanyak 231 keping lagi dicuri di Taman Putra Perdana Presint 1, dengan jumlah kerugian sebanyak RM29,880.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek polis percaya berjaya melumpuhkan sindiket curi besi penutup longkang.

"Polis juga memberi amaran kepada pengusaha kedai barangan lusuh agar tidak bersubahat dengan membeli barangan curi bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.