MTPN terima 300 aduan penipuan pembelian dalam talian

MTPN menerima 300 aduan mengenai penipuan pembelian dalam talian yang melibatkan jumlah kerugian menjangkau sehingga lebih RM30 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. - Gambar hiasan 123RF
MTPN menerima 300 aduan mengenai penipuan pembelian dalam talian yang melibatkan jumlah kerugian menjangkau sehingga lebih RM30 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menerima 300 aduan mengenai penipuan berkaitan dengan pembelian secara dalam talian yang melibatkan jumlah kerugian menjangkau sehingga lebih RM30 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sekitar bulan Mac, sehingga Julai lepas.

Ketua Biro Kebajikan MTPN, Datuk Seri Kenta Goh berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada mangsa di lima buah negeri dengan Johor dan Selangor mencatatkan jumlah aduan serta kerugian tertinggi diikuti Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Kami agak terkejut dengan aduan yang diterima kerana mangsa bukan mengalami kerugian dalam jumlah yang kecil sebaliknya membabitkan nilai yang besar urusan pembelian dalam talian sebab itu jumlah keseluruhan ditipu menjangkau lebih RM30 juta.

"Punca utama banyak pengguna ditipu di dalam talian kerana sejak pelaksanaan PKP, orang ramai lebih banyak menjalankan urusan pembelian secara dalam talian... malah ada yang percaya dengan jualan murah dalam talian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian MTPN Cawangan Pulau Pinang, dekat sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghappar.

Mengulas lanjut, Kenta yang juga Yang Dipertua MTPN Pulau Pinang berkata, pihaknya sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak membantu pengguna dengan menyalurkan bantuan khidmat nasihat serta menjadi orang tengah antara KPDNHEP, pihak polis dan pengguna.

Katanya penubuhan MTPN juga untuk melindungi hak pengguna dan menyebarkan maklumat tentang isu kepenggunaan kepada penduduk negeri ini.

Beliau berkata, Pulau Pinang yang merupakan cawangan keenam MTPN menyasarkan keahlian sekitar 3,000 orang di negeri ini menjelang hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya menyambut baik penubuhan MTPN cawangan Pulau Pinang dan berharap dapat membantu pengguna serta menjadi orang tengah dalam membantu kerajaan terutama KPDNHEP menyebarkan maklumat berguna kepada orang ramai.

"Saya harap MTPN dan KPDNHEP dapat saling bekerjasama berkaitan isu-isu pengguna terutama bagi mengelak mereka (pengguna) menjadi mangsa penipu dalam pembelian termasuk dalam talian," katanya. - Bernama