X

Kindly register in order to view this article
!

Adakah pipit tetap pipit?

A
A

ISU berkaitan ketidaksaksamaan dan keadilan dalam hidup tidak pernah habis untuk diperdebatkan.

Apa yang jelas, sikap memperlekehkan individu yang tidak setaraf dengan kita masih ketara dan melangkaui zaman, cuma caranya berbeza.

Hakikatnya, mereka yang kaya dan hebat tetap menjaga ‘kawasan’ mereka agar tidak diceroboh dan sangat berbangga dengan zon eksklusif yang telah dibina.

Dek kerana ‘kehebatan’ itulah, ramai yang bercita-cita dan berusaha bersungguh untuk masuk ke dalam zon tersebut dengan anggapan boleh menjadikan mereka hebat dan diiktiraf hebat.

Sebetulnya, perbezaan taraf hidup itu telah pun dijadikan peribahasa oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi seperti ‘burung pipit sama enggang, mana boleh terbang sama’ dan ‘antah berkumpul sama antah dan beras bersama beras’.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, peribahasa tersebut bukannya bermaksud untuk mendiskriminasikan seseorang, namun lebih bertujuan mengharmonikan kehidupan.

Dalam agama Islam sendiri mengesyorkan agar kita berkahwin dengan pasangan yang sekufu atau sepadan, serasi dan seimbang.

Syor itu selaras dengan hadis Rasulullah SAW: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.” (Hadis Riwayat al-Hakim).

Pentingnya sekufu adalah untuk mengelak perkara buruk berlaku kepada pasangan tersebut kerana terpaksa hidup dalam cara berbeza dan tiada persamaan. Pun begitu, faktor sekufu adalah syor sahaja, yang penting mereka serasi bersama walau apa juga keadaan.

Persoalannya, bolehkah pipit menjadi enggang? Hakikatnya selagi masih ada matahari dan bulan, kita bebas untuk merencanakan masa hadapan kita.

Namun apa yang menjadi kerisauan ialah kita tidak boleh sesuaikan dengan kehidupan baharu yang dikecapi. Apa yang nyata, tidak sedikit yang merana dan kecundang setelah menjadi kaya dan terkenal. Akhirnya mereka terjerumus dalam pusaran kehidupan.

Menurut perspektif psikologi, ‘pusaran’ yang dimaksudkan ialah mengalami sindrom ‘maladaptive behaviour’ atau ketidakbolehsuaian dengan suasana baharu.

Pun begitu, masih ada yang boleh sesuaikan dengan keadaan baharu setelah melakukan beberapa alternatif dalam kehidupan mereka tetapi bukan mudah dan mengambil masa.

Pada hemat saya, pipit tidak perlu menjadi enggang untuk menjadi hebat. Yang penting, kita diredai dan hebat di sisi ALLAH SWT. Perbezaan darjat itu wujud kerana dunia dijadikan neraca.

Walhal ALLAH SWT telah berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi ALLAH SWT adalah orang yang lebih bertakwa.” (Surah Al-Hujurat, 49:13).

Berkaitan dengan sikap yang sederhana, saya begitu tertarik dengan kupasan Pak Hamka dalam buku beliau bertajuk Falsafah Hidup. Menurut beliau: “Segenap manusia sama, tidak berbeza cuma kemahuannya berlainan. Kalau kita turutkan sahaja kehendak nafsu, tidak kita beri batas perjalanannya supaya sederhana, tidaklah nafsu itu akan berhujung. Padahal jika terima apa yang ada, sabar dan tahan hati dan berusaha menghindarkan pengangguran, maka nafsu itu akan menerima berapa pun yang ada.

“Hidup manusia adalah di tengah sempadan, perbatasan antara perangai malaikat dengan perangai binatang. Sebab itu, kalau mereka meniru malaikat, mereka akan lebih daripada malaikat dan jika meniru binatang maka kehinaannya akan melebihi binatang. Binatang apabila telah kenyang perutnya akan terus tidur dan istirahat, namun manusia walaupun telah kaya semakin tidak senang hidup, bahkan bertambah tamak kepada harta.”

Justeru, bersyukurlah dengan apa yang ada.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!