Anggota polis cedera dipukul di stesen minyak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis cedera dipukul sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di sebuah stesen minyak di Sri Rampai di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Ahmad Osman berkata, kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu berlaku ketika mangsa berpangkat konstabel berusia lingkungan 20-an sedang melakukan tugasan Ops Rentap Khas bagi menangani jenayah samun dan ragut.

Semasa operasi terbabit, katanya, motosikal dinaiki mangsa hampir kehabisan minyak sebelum mangsa berhenti di salah satu pam di stesen terbabit.

"Tanpa menyedari, terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai yang berada di belakang untuk menunggu giliran mengisi di pam berkenaan.

"Keadaan itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati pemandu MPV terbabit hingga berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pertengkaran itu menyebabkan beberapa rakan suspek yang berada di dalam MPV dan sebuah lagi kereta jenis Mercedes di situ telah datang ke arah mangsa sebelum mangsa dipukul oleh dua lelaki daripada kumpulan terbabit.

Katanya, kejadian itu kemudian cuba dileraikan oleh rakan suspek yang berada di lokasi kejadian.

"Insiden berkenaan menyebabkan mangsa cedera pada kening kiri sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan menerima lima jahitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dengan dibantu Bahagian D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menahan 10 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Beliau berkata, kesemua suspek telah direman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.