Ada akal baik, ada akal jahat

A
A
A

SEMUA orang tahu apa maksudnya pepatah Melayu kerana mulut badan binasa. Ia biasa digunakan ketika mulut tidak dapat dikawal kerana mendahului akal agaknya. Akibatnya kadang-kadang sangat buruk.

Selain pepatah di atas, ada banyak juga pepatah yang lain memberitahu akan sebab mulut. Mulut kadang-kadang berbisa. Bisa yang keluar daripada mulut boleh menyebabkan huru-hara.

Tetapi ada juga mulut yang boleh mengeluarkan rasa manis. Rasa manis pun boleh menyebabkan kecelakaan dan boleh menyebabkan kesejahteraan. Ia bergantung kepada niat.

Kalau diikutkan emosi pula, akal akan berhenti berfikir sebenarnya. Maka, terhasilah mulut manis dan mulut yang membawa binasa. Pada masa yang sama, apa yang dilakukan untuk menjustifikasikan tindakan selanjutnya boleh juga memudaratkan diri sendiri.

Saya bercerita tentang pepatah itu bukan apa, cuma telah berlaku satu perkara di pejabat saya baru-baru ini. Sekadar berkongsi dan mungkin juga boleh menjadi iktibar kepada orang lain terutama kepada mereka yang bergelar pekerja.

Seorang kakitangan saya yang telah lama bekerja tiba-tiba mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Katanya, dia tidak berpuas hati kerana majikan sudah hilang kepercayaan terhadapnya, maka surat berhenti kerja pun dihantar.

Memandangkan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, ramai juga yang telah berhenti kerja dan diberhentikan kerja, maka dengan senang hati majikan pun menerima sahaja surat peletakan jawatan tersebut.

Sudah menjadi prosedur biasa memberi notis dan tunggu sahajalah notis berhenti kerja tamat. Pada masa yang sama, bekerjalah seperti biasa tetapi sebaliknya yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan tersebut yang tidak berpuas hati memadamkan dokumen tugasnya yang sepatutnya diserahkan kepada syarikat.

Dokumen tersebut hendaklah diserahkan sebagai serah kerja untuk disambung pula oleh orang lain yang akan menggantikan beliau. Ia adalah prosedur biasa sahaja sepatutnya.

Tetapi apa yang berlaku seperti kata pepatah Melayu yang saya kongsikan di atas, katanya mulut pekerja terbabit: “Aku dah delete semua dokumen. Nanti orang yang ganti aku boleh buat sendirilah.”

Jika mengikut pepatah Melayu, peribahasa kerana mulut badan binasa itu mungkin tidak sesuai kerana perlakuannya bukan disebabkan mulut walaupun ada juga sedikit mulut yang terlibat tetapi lebih kepada ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta. Natijahnya, syarikat membuat laporan polis atas tuduhan sabotaj.

Perkara tersebut yang sepatutnya tidak berlaku menyebabkan orang lain yang susah. Ketua jabatan susah, pegawai sumber manusia susah dan polis yang sepatutnya boleh menggunakan masa untuk melakukan kerja-kerja yang lebih berat terpaksa menggunakan masa menyiasat perkara berkenaan.

Tercalar

Walaupun akhirnya ia telah selesai dengan cara yang baik, namun tetap membuatkan hati tercalar memikirkan tindak-tanduk yang tidak menggunakan akal dan terjadi pula pada masa-masa yang kritikal.

Sekarang boleh dikatakan syarikat-syarikat yang masih boleh bertahan beroperasi mempunyai kuasa yang lebih. Mereka boleh sahaja membuang pekerja yang tidak mempunyai prestasi yang tidak bagus.

“Ramai lagi orang di luar sana yang telah kehilangan kerja boleh diambil bekerja. Kalau sudah tidak berminat bekerja di sini, pintu sentiasa terbuka,” berkatalah bos besar saya berkias-kias tentang pintu pula.

Keadaan itu sangat kritikal kepada kita sebagai pekerja. Maka, bekerjalah elok-elok dan jika hendak berhenti, berhentilah secara elok. Nanti nama sendiri juga yang tercemar kalau sudah ada rekod polis. Hendak bekerja di tempat lain pun susah.

Akal itu diberi oleh Tuhan untuk kita gunakan dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah terletak di tempat yang paling atas mengikut struktur tubuh badan kita dan apabila digunakan sebaik-baiknya, maka tidak terjadilah perkara yang tidak diingini.

Walaupun begitu, ada juga akal yang jahat. Kenapa wujudnya akal itu, bolehlah dibuat kajian. Mungkin disebabkan cara pembesaran, didikan dan persekitaran.

Pepatah Melayu sendiri ada memberitahu kiasan yang memberi maksud akal yang jahat seperti hilang bini boleh dicari, hilang budi badan celaka.

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com