X

Kindly register in order to view this article
!

Campur tangan isu 1MDB: NGO mahu serah memorandum

Shahbudin (duduk dari kiri) dan Mohd Zai (duduk, tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Wisma MPM, Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkenaan dakwaan campur tangan pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyerahan memorandum itu akan dilakukan Majlis Perundangan Melayu Malaysia (MPM) dan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) pada 19 Ogos depan.

Selain Perdana Menteri, memorandum berkenaan turut diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Pengerusi Biro Politik MPM, Shahbudin Embun berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara bahawa kuasa politik mencampuri urusan mahkamah.

"Kami daripada NGO seluruh negara menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan ke atas mantan Perdana Menteri, mantan Menteri Kewangan dan mantan Peguam Negara ketika itu.

"Sekiranya berlaku salah guna kuasa, tindakan pendakwaan hendaklah dilakukan," katanya pada sidang akhbar di Wisma MPM di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa berkata, setakat petang ini, sebanyak sembilan laporan polis telah dibuat di seluruh negara berkenaan perkara tersebut.

"Kita serah kepada SPRM untuk siasat dakwaan itu," katanya.

Terdahulu, Takiyuddin mendakwa terdapat salinan surat menunjukkan campur tangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengarahkan pembatalan pembekuan aset taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng berkaitan kes 1MDB.

Takiyuddin mendedahkan beberapa salinan surat membabitkan ketiga-tiga individu berkenaan kepada SPRM pada tahun 2018 dan tahun lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!