X

Kindly register in order to view this article
!

'Datuk Naresh' didakwa perdaya dua individu

A
A

KLANG - Seorang penganggur yang menggunakan nama 'Datuk Naresh' hari ini dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan menipu dengan memperdayakan dua individu sehingga mendorong mereka membayar wang berjumlah RM81,150 antara 10 Mei hingga 13 Julai tahun ini.

Tertuduh, V. Vicknes, 37, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Solehah Noratikah Ismail dan Majistret, Roslizi Sulaiman.

Di hadapan Majistret Solehah, tertuduh didakwa menipu dengan memperdayakan konsultan keselamatan Sukdarshan Singh, 59, melalui panggilan telefon dengan mendakwa dia boleh menguruskan biasiswa bagi pengajian dua anak lelaki itu sehingga mendorong mangsa memasukkan RM2,500 dalam akaun Maybank milik tertuduh atas nama Naresh.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada seorang anak itu didakwa memperdayakan mangsa sama bagi menguruskan darjah kebesaran Mahkota Pahang sehingga mendorong mangsa memasukkan RM9,700 ke dalam akaun yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memperdayakan mangsa sama dengan menawarkan kenderaan istana Pahang sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM57,450 ke dalam empat akaun berasingan termasuk milik tertuduh.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Berkeley dan di Bandar Baru Klang dekat sini antara 10 Mei hingga 13 Julai lepas.

Di hadapan Majistret Roslizi, tertuduh didakwa memperdayakan Jaswant Singh, 61, untuk menguruskan darjah kebesaran Mahkota Pahang sehingga mendorong pesara itu memasukkan wang RM11,500 ke dalam akaun milik individu lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Berkeley antara 15 Jun hingga 1 Julai lepas.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Vicknes didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ermadieyani Ismadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Solehah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 September untuk sebutan semula kes manakala Majistret Roslizi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Sept untuk sebutan semula kes. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!