X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga pasukan Liga-M belum mulakan proses penswastaan kelab

Stuart Ramalingam
A
A

PETALING JAYA - Tiga pasukan Liga Malaysia (Liga-M) melibatkan dua daripada saingan Liga Super dan sebuah pasukan Liga Premier masih belum memulakan proses penswastaan kelab yang akan berakhir pada 31 Ogos ini.

Tanpa mendedahkan nama tiga pasukan itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memaklumkan, badan induk itu akan terus membantu proses penswastaan berkenaan yang melibatkan 21 pasukan bagi membolehkan mereka memperoleh lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga-M pada musim hadapan.

“Semua persatuan bola sepak (negeri dan kelab) sudah diberitahu (berhubung proses penswastaan kelab), tetapi tiga lagi pasukan belum berbuat apa-apa manakala lima pasukan lagi bergerak perlahan.

“Kita perlu bekerja keras membantu kesemua pasukan berkenaan untuk memastikan proses penswastaan (kelab) dapat dilaksana sebelum 31 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat berhubung pelesenan kelab dan proses pemisahan daripada Persatuan Bola Sepak (FA) kepada Kelab Bola Sepak (FC) di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, sesebuah kelab atau pasukan tidak akan memperoleh lesen kebangsaan daripada ‘First Instance Body’ Pelesenan Kelab FAM sekiranya gagal menjelaskan baki hutang yang masih tertunggak pada musim ini.

Hutang itu meliputi tunggakan gaji serta hutang dengan agensi kerajaan sama ada melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Berdasarkan rekod FAM, lima pasukan sudah melengkapkan proses penswastaan, lapan pasukan masih meneruskan proses secara berjadual, lima pasukan baru sahaja terlibat dengan proses penswastaan manakala tiga pasukan belum memulakan sebarang proses permohonan penswastaan pasukan masing-masing.

Penswastaan kelab dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Stuart memaklumkan badan induk itu akan meminda statut FAM selaras dengan proses pemisahan FA kepada FC yang dijangka tamat pada 30 September ini.

Beliau menjelaskan, pindaan statut berkenaan dijangka dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam tempoh terdekat sebelum dibawa ke Kongres Tahunan FAM ke-56 pada 29 Ogos ini untuk tindakan selanjutnya. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!