11 lagi dari Kluster Tawar disahkan positif Covid-19

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 11 lagi kes positif Covid-19 membabit Kluster Tawar dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, 10 kes didapati positif di Kedah dan satu daripada kluster itu dikesan pada saringan di Pulau Pinang.

"Kes yang dikesan di Pulau Pinang itu bagaimanapun didaftar sebagai kes di Kedah," katanya.

Menurutnya, selain itu satu lagi kes penularan dalam negara dikesan di Kedah.

"Satu lagi kes dikesan ketika saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI). Oleh itu, jumlah penularan dalam negara hari ini adalah 13 kes," katanya.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan enam warganegara dan seorang warga asing turut dikesan.

"Sehubungan itu, KKM merekodkan 20 kes positif baharu hari ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 bertambah kepada 9,149 kes.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 196 kes," katanya.

Beliau berkata, seramai empat pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi dan seorang memerlukan bantuan pernafasan.

"Kes kematian berkaitan Covid-19 kekal 125 kes selepas tiada kes dilaporkan," katanya.

Tambahnya, tujuh kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,828 kes bersamaan 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.