X

Kindly register in order to view this article
!

Penunggang maut, pembonceng parah dilanggar treler

Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang terlibat kemalangan dengan sebuah treler di KM46.7 Lebuhraya Utara Selatan pagi tadi.
A
A

KULAI - Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah selepas dilanggar sebuah treler ketika mahu berhenti untuk berteduh di bawah jejambat di Kilometer 46.7 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini dalam kejadian awal pagi tadi.

Syafirul Asyarie Norhaidi, 18, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash mengalami kecederaan parah dan maut di lokasi kejadian sementara pembonceng, Muhammad Amirul Kamarudin yang juga berusia 18 tahun cedera parah.

Ketua Polis Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, motosikal terbabit dipercayai dalam perjalanan menuju ke Simpang Renggam.

"Hasil siasatan awal, motosikal dipercayai hendak berhenti berteduh di bawah jambatan tetapi terlepas dan terbabas ke sebelah kanan kerana keadaan jalan yang basah.

"Akibatnya treler yang datang dari arah belakang melanggar mangsa dan motosikalnya. Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala, meninggal dunia di lokasi kemalangan. Pembonceng pula mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Kulai, manakala pemandu treler berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurut Beng Yeow, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Sekyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, seramai sembilan anggota bomba dan sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Norhisbam Ikhwan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa kemalangan itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!