Polis nafi tutup sempadan Perak ke Kedah di Gerik

Dakwaan tular kononnya laluan sempadan negeri di Jalan Gerik-Kupang, Gerik ke Daerah Baling, Kedah ditutup susulan Kluster Tawar adalah tidak benar. - Foto FB Polis Daerah Gerik
Dakwaan tular kononnya laluan sempadan negeri di Jalan Gerik-Kupang, Gerik ke Daerah Baling, Kedah ditutup susulan Kluster Tawar adalah tidak benar. - Foto FB Polis Daerah Gerik
A
A
A

IPOH - Polis menafikan dakwaan tular kononnya laluan sempadan negeri di Jalan Gerik-Kupang, Gerik ke Daerah Baling, Kedah ditutup susulan kluster baharu berkaitan wabak Covid-19 iaitu Kluster Tawar dikesan di Kedah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya tidak menutup laluan keluar masuk negeri Perak ke Kedah seperti yang didakwa dan gambar yang ditularkan adalah operasi bersepadu yang dijalankan polis semalam.

"Operasi itu hanya diadakan pada waktu tertentu dan ia dilaksanakan bagi membuat pemeriksaan seperti kesalahan lalu lintas dan sebagainya.

"Pihak polis sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu ini dan orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan sesuatu yang tidak benar kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya sesiapa yang ingin mendapatkan keterangan atau maklumat sahih boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di talian 05-7911222.

Kementerian Kesihatan semalam dilaporkan mengesan satu lagi kluster baharu berkaitan wabak Covid-19 iaitu Kluster Tawar di Kedah melibatkan 10 kes positif dengan kes pertama kluster itu adalah kes ke-9,113 yang dikesan positif Selasa lepas sementara sembilan kes lagi dilaporkan positif semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: