Sindiket guna 'teksi sapu' cari pelanggan pasport palsu

Imigresen tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dalam serbuan baru-baru ini.
Imigresen tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dalam serbuan baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sindiket pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu didalangi warga Bangladesh yang mencari pelanggan di sebalik perkhidmatan 'teksi sapu' berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam serbuan dilakukan di Cheras dan Jalan Klang Lama di sini pada Ahad dan Isnin lalu,

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, modus operandi yang digunakan suspek dengan menjalankan kegiatan kereta sewa tidak berlesen atau dikenali 'teksi sapu' dan giat mencari pelanggan di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek akan menawarkan kepada pelanggannya pelekat PLKS dan pasport palsu.

Beliau berkata, berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua bulan, beberapa siri tangkapan telah dilakukan terhadap rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang aktif di kawasan Lembah Klang.

"Serbuan pertama pada Ahad lalu di sebuah premis kediaman di Cheras berjaya menahan dua lelaki Bangladesh serta seorang wanita Mongolia dipercayai terlibat sindiket pemalsuan dokumen.

"Hasil siasatan lanjut kemudian membongkar satu lagi rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi oleh lelaki warganegara Bangladesh berusia 39 tahun pada keesokan harinya dalam serbuan di Jalan Klang Lama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan itu, sembilan pasport Bangladesh palsu, empat pelekat PLKS palsu, satu komputer riba, satu mesin pencetak dan pelbagai peralatan untuk membuat pasport palsu dirampas.

"Turut disita adalah sebuah kereta Nissan Sentra milik suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan pemalsuan dokumen dilakukan sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran sebanyak RM300 bagi satu pelekat PLKS palsu manakala bayaran RM100 bagi senaskhah pasport palsu.

"Suspek dipercayai mampu mengaut keuntungan sebanyak RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil daripada jualan dokumen palsu terbabit dan semua hasil keuntungan dihantar ke Bangladesh.

"Kebanyakan warga Bangladesh yang membeli pasport palsu adalah bagi memudahkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia. Ini kerana majikan takut untuk mengambil pekerja asing yang tiada pasport," katanya.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63.