MAHA 2018: MOA beri amaran kepada peniaga haram

MAHA 2018
MAHA 2018
A
A
A
SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi amaran kepada mereka yang berniaga di kawasan pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) tanpa kebenaran penganjur, supaya menghentikan kegiatan mereka.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, pihak penganjur telah mengenal pasti ratusan peniaga haram yang menjalankan aktiviti mereka di tempat kawasan parkir kenderaan awam serta kawasan lapang yang dikhususkan kepada pengunjung untuk beristirehat.

Beliau berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia jelas menganggu perniagaan kalangan mereka yang memohon lesen daripada pihak penganjur untuk berniaga di kawasan berkenaan sempena MAHA 2018.

"Sehubungan itu, kami mengadakan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) untuk mengambil tindakan ke atas peniaga haram yang 'berkeliaran' terlalu banyak," katanya kepada pemberita pada sidang media di pusat media MAHA 2018, di Dewan B, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

MAHA 2018 yang berlangsung sejak 22 November lepas sehingga 2 Disember ini, bertemakan 'Makanan Kita Masa Depan Kita', menampilkan 770 gerai jualan dengan penyertaan 680 pempamer, mesyuarat perniagaan serta forum perniagaan bersama jemputan daripada agensi kerajaan berkaitan.
Artikel Berkaitan:


Sebanyak 501 menu juadah popular dari semua negeri, produk asas tani, buah-buahan dan sayur-sayuran, anak pokok dan bunga-bungaan, ikan dan makanan laut segar turut dijual pada MAHA 2018.

Ekspo pertanian terbesar Malaysia itu turut mempamerkan 13 pavilion negeri dengan menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan negeri yang dapat dinikmati oleh pengunjung. - Bernama