Kluster Sivaganga: 139 Tadika, Taska Kemas di Kedah ditutup sementara

Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada penerima Program Peningkatan Pendapatan pada program ramah mesra meraikan sukarelawan penyediaan sut PPE Kemas Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada penerima Program Peningkatan Pendapatan pada program ramah mesra meraikan sukarelawan penyediaan sut PPE Kemas Negeri Sembilan di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 139 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kedah ditutup sementara berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) melibatkan Kluster Sivaganga.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, penutupan Tabika dan Taska Kemas melibatkan seramai 2,747 murid itu sebagai langkah awal mengelak penularan Covid-19.

"Tabika kita semua selamat tapi penutupan ini sebagai langkah berhati-hati kerana lokasinya yang berhampiran atau berada di kawasan tersebarnya kluster.

"Kita juga dapat maklumat ada ibu bapa murid-murid yang pernah makan di restoran Nasi Kandar Salleh di Napoh termasuk suami kepada pembantu tabika. Mereka ini ada kontak dengan kedai makan itu, jadi kita ambil langkah awal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan Sut Peralatan Perlindungan Diri (PEE) Kemas Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun tiada kes positif Covid-19 melibatkan murid-murid di Tabika dan Taska Kemas yang ditutup, namun kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman akan dilakukan sebagai langkah keselamatan.

Beliau berkata, dalam tempoh penutupan Tabika dan Taska Kemas, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan diteruskan secara dalam talian.

"Keputusan membuka semula Tabika dan Taska Kemas bergantung keadaan semasa kes dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan sesi PdP tidak berjalan seperti biasa, Mohamad Yasid berkata, pihaknya ada menerima rungutan daripada ibu bapa mengenai perkara itu kerana ia menyusahkan mereka yang bekerja.

"Saya harap ibu bapa bersabar kerana ketika ini kita buka tabika secara penggiliran disebabkan ruang kelas yang tidak mencukupi untuk penjarakkan fizikal satu meter.

"Ia hanya sementara sahaja dan jika keadaan kembali pulih, kita akan beroperasi seperti sedia kala," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau telah menyampaikan sijil penghargaan kepada 100 sukarelawan Kemas terdiri daripada kakitangan Kemas Negeri Sembilan dan peserta Kelas Jahitan Kemas Negeri Sembilan yang menyumbang tenaga menyiapkan sebanyak 2,452 set PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan KKM,

Untuk rekod, seramai 537 kakitangan Kemas dan 1,006 sukarelawan seluruh negara terlibat menghasilkan 88,210 PPE untuk kegunaan pasukan barisan hadapan KKM.

Mohamad turut menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada tiga penerima di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP).