Sijil halal bantu PKS tambah pelanggan

Eqhwan Mokhzanee memberi pandangan ketika sesi 1: Halal Quest pada Webinar Ambank BizConference hari ini.
Eqhwan Mokhzanee memberi pandangan ketika sesi 1: Halal Quest pada Webinar Ambank BizConference hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pensijilan halal kini dilihat menjadi aspek penting dalam perniagaan khususnya syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ekoran berlaku perubahan tingkah laku yang ketara dalam kalangan pengguna ketika mendepani pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee Muhammad berkata, sijil itu mampu memberi nilai tambah dan keyakinan baharu bukan sahaja kepada pengusaha PKS tetapi masyarakat.

Beliau berkata, sebelum penularan Covid-19, ketika norma baharu, masyarakat kini lebih sensitif terhadap produk yang digunapakai.

"Jika lihat aspek pensijilan halal ia melibatkan aspek keselamatan dan kesihatan secara menyeluruh dari awal sehingga akhir sesuatu proses pengeluaran dilakukan.

"Konsep halal itu juga bukan setakat makanan dan minuman tetapi juga melibatkan sektor pembuatan, perkhidmatan dan banyak lagi," katanya menerusi Webinar Ambank BizConference berhubung isu Halal hari ini.

Webinar turut disertai panelis lain iaitu Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Sarah Nuur Farhah dan Pengarah Urusan Beard Brothers Sdn Bhd, Afif Termizi Salehudin.

Eqhwan Mokhzanee berkata, pensijilan halal bukan sahaja memberi keyakinan serta mengelakkan was-was dalam kalangan pengguna Islam tetapi dilihat mampu membantu PKS menembusi sektor pasaran orang bukan Islam sehingga ke peringkat global.

"Bukan mudah untuk memperoleh Sijil Halal kerana perlu melalui proses rapi dan teliti namun jika sudah memilikinya menunjukkan PKS sudah mencapai satu tahap atau piawaian tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Ia akan mengukuhkan lagi keyakinan pelanggan bahawa sesuatu produk dan perkhidmatan itu selamat dan tidak menjejaskan kesihatan mereka. Produk halal berpotensi memenuhi permintaan baharu," katanya.

Justeru, Eqhwan Mokhzanee mengajak PKS yang mempunyai aspirasi untuk mendapatkan sijil halal serta mahu memberi nafas baharu kepada perniagaan menyertai pertandingan Ambank BizRace musim ketiga.

Program berkenaan katanya, tidak melibatkan sebarang kos dan memberi penekanan kepada PKS berhubung aspek seperti pensijilan halal, digitalisasi dan revolusi industri.

Tambahnya, Ambank BizRace kali ini memberi peluang kepada PKS yang berminat mendapatkan pensijilan halal dalam konteks latihan dan pendedahan termasuk mempelajari ilmu pemasaran serta pengurusan aliran tunai.